
KUALA LUMPUR: Pemain badminton remaja sensasi negara Low Zi Yu meletakkan sasaran untuk merangkul dua gelaran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2026 di Yatsushiro, Jepun, berlangsung dari 1 hingga 5 Julai ini.
Zi Yu dijadual beraksi dalam dua acara iaitu beregu wanita bersama Genevie Lim dan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad dalam beregu campuran pada saingan di Yatsushior City General Gymnasium.
“Saya sudah semestinya mahu merebut pingat emas, kalau boleh mahu dapat dua emas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Pemain berusia 15 tahun itu berkata pengalaman beraksi pada kejohanan peringkat tinggi termasuk Jelajah Dunia dan Piala Uber 2026 bersama pasangan sedia ada Noraqilah Maisarah Ramdan membantu membina tahap keyakinan diri bagi mengharungi kempen Kejohanan Badminton Remaja Asia kali ini.
“Peluang beraksi di kejohanan peringkat tinggi benar-benar bantu saya untuk belajar berdepan pemain berkelas dunia.
“Lebih kuat lawan dihadapi, lagi bagus pengalaman yang saya dapat dan itulah yang membuatkan saya rasa lebih yakin dalam permainan,” katanya.
Noraqilah Maisarah, 18, tidak dapat beraksi kerana sudah melepasi had umur bagi kejohanan berkenaan. – Bernama