
PELAKON Zed Zaidi kini kembali mencuri perhatian apabila muncul dengan imej lebih segar dan penuh energi selepas sekian lama menyepi.
Menjelaskan perubahan dirinya, pemilik nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil, 45, itu berkata beliau kini berusaha keras mengubah gaya hidupnya dengan menjalani latihan intensif bagi meningkatkan ketahanan fizikal dan disiplin diri.
Pada masa sama beliau mengakui transformasi fizikalnya juga berkait rapat dengan satu watak dalam sebuah filem berkenaan pasukan beruniform yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.
“Untuk menjayakan watak tersebut saya perlu menurunkan berat badan dan meningkatkan kecergasan. Sebagai pelakon yang profesional, saya ambil tanggungjawab itu (kuruskan badan) untuk memberikan yang terbaik.
“Watak ini memerlukan saya berada dalam kondisi terbaik. Saya banyak lakukan latihan fizikal bagi memastikan stamina saya cukup untuk menjiwai peranan ini,” katanya kepada Bernama.
Kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu lagi, setakat ini beliau berjaya menurunkan kira-kira 10 kilogram (kg) dengan sasaran berat badan 80 kg.
“Untuk mendapatkan tubuh yang sihat, setiap hari saya memperuntukkan satu jam bagi menjalani latihan intensif di gim atau berjoging. Saya juga mengawal pemakanan dengan mengelakkan makanan manis.
“Selain itu, saya kini mengamalkan pengambilan produk kesihatan saya sendiri. Jadi, saya ialah testimoni kepada keberkesanannya. Setakat ini produk itu membantu menurunkan berat badan saya dengan lebih cepat,” katanya.
Zed Zaidi berkata perubahan positif dirinya turut menarik perhatian ramai pengarah dan penerbit yang melihat kesungguhannya sebagai satu nilai tambah.
“Sebenarnya, saya tidak pernah berhenti berlakon, cuma kebanyakan tawaran yang diterima sebelum ini hanya watak-watak kecil atau cameo sahaja. Diharap perubahan ini menjadi titik permulaan untuk kembali aktif dalam industri,” katanya.
Ditanya tentang watak idamannya, Zed Zaidi berkata beliau ingin membawakan watak gangster.
“Saya sudah lama mahu mencuba watak yang benar-benar mencabar seperti gangster yang kompleks dari segi emosi dan fizikal. Saya ingat semasa menyimpan rambut panjang sebelum ini akan ada tawaran, rupanya tiada,” katanya.
Selain itu, pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja tersebut turut aktif dalam bidang perniagaan insurans dan cukai jalan menerusi syarikatnya, KawKaw.My selain sedang merancang untuk melancarkan produk kesihatan serta kecergasan.
“Saya ingin berkongsi pengalaman dan perjalanan transformasi saya dengan lebih ramai orang. Kesihatan ialah aset paling berharga, dan saya mahu memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik,” katanya. – Bernama