

BANYAK perkara yang kita lakukan di dunia ini saling bergantungan antara satu sama lain dengan orang yang berada di sekeliling kita.
Adakala hidup kita memerlukan bantuan dan kita juga tidak terlepas untuk membantu orang lain. Secara kelazimannya, kita akan disenangi dan disukai oleh orang lain bila kita dapat membantu orang yang memerlukan bantuan kita.
Oleh sebab itu, Islam meletak zakat sebagai salah satu rukunnya yang lima kerana wujudnya faktor membantu dalam kefarduan berzakat.
Islam juga menganjurkan sedekah, wakaf, hibah, infak dan sebagainya dengan tujuan untuk memastikan kita sebagai manusia perlu membantu antara satu sama lain. Bagi yang berupaya atau yang cukup syaratnya wajib untuk menunaikan kefarduan berzakat.
Ada dalam kalangan kita yang menunaikan zakat tanpa perlu disuruh dan tidak dinafikan juga ada yang menunaikannya perlu sentiasa diingatkan.
Tidak kurang juga yang melaksanakan kewajipan ini kerana takut dengan hukuman yang amat berat di akhirat nanti.
Sudah menjadi kewajipan jika kita melihat pada sudut agama, sesuatu pemberian yang wajib ditunaikan atas dasar hukum sudah pasti dipatuhi bagi kita yang akur dan faham.
Cuma persoalannya, kenapa wujud juga dalam kalangan kita yang masih kekal memberi walaupun mereka bukan orang Islam dan tidak diwajibkan untuk menunaikannya?
Jika dijawab persoalan ini secara umum, jawapannya memang itu sudah menjadi lumrah manusia. Manusia memiliki perasaan dan pilihan untuk memberi atau membantu atas dasar perikemanusiaan.
Namun secara psikologinya, ramai dalam kalangan kita yang suka membantu atau memberi kepada orang yang memerlukan boleh dianggap berpunca daripada beberapa pendirian, antaranya:
Ada Budi Ada Balas
Prinsip ‘ada budi ada balas’ ialah menabur budi dahulu dan mengharap balasan kemudian. Secara positifnya, kita selalu meningatkan diri bahawa hari ini mungkin hari orang lain yang susah dan siapa tahu mungkin hari esok hari kita pula yang susah. Jadi mereka sentiasa beranggapan bahawa bantu membantu sesama manusia harus menjadi budaya hidup.
Orang Suka Bila Kita Membantu
Kita berkeyakinan bahawa orang akan menyayangi kita atas kebaikan yang telah dilakukan kerana membantu orang lain. Kita akan dianggap sombong kerana tidak membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Secara kebiasaannya, orang suka jika kita memiliki sikap suka membantu.
Rasa Puas Dapat Bantu Orang
Kita akan merasa seolah-olah berpuas hati jika dapat membantu orang lain. Rasa empati wujud dengan sendirinya jika kita sudah biasa membantu orang lain dalam kesusahan dan kita akan tahu bagaimana rasanya. Begitu hebat naluri mereka yang suka membantu sebegini.
Membantu Sekadar Keupayaan
Kita berpendapat jika hendak membantu orang lain, biarlah sekadar keupayaan kita dan jangan sampai boleh menyusahkan diri kita sendiri.
Contohnya ada kawan kita yang memerlukan duit untuk belanja, boleh kita bantu sekadar yang mampu dan ingat diri kita juga perlu menampung keperluan hidup. Dalam hal begini, lebih baik bercakap benar jika kita tidak dapat membantu.
Membantu Untuk Tujuan Baik
Bantulah jika seseorang itu bertujuan untuk melakukan kebaikan. Menjadi kewajipan setiap kita untuk mengelak bersekongkol dengan mereka yang melakukan perkara yang tidak baik. Silap haribulan kita boleh melakukan dosa jika kita membantu orang lain membuat kejahatan.
Membantu Biarlah Berpada-Pada
Tidak salah kita membantu orang lain tapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai terjadi seperti kita dibuli pula oleh orang yang dibantu.
Hari ini kita sudah banyak membantu, esok mereka meminta lagi bantuan daripada kita dan seterusnya. Ini namanya mengambil kesempatan atas kebaikan yang telah kita lakukan. Jadi berhati-hatilah supaya orang tidak mengambil kesempatan ke atas diri kita yang bermurah hati itu.
Membantu Dengan Ikhlas
Membantu orang biarlah dengan niat melakukannya secara ikhlas dan bukan atas dasar terpaksa. Tidak akan wujud rasa terpaksa membantu orang lain apabila ada sifat ikhlas dalam diri. Orang lain pun boleh nampak bagaimana seseorang itu ikhlas atau terpaksa semasa membantu mereka. Keikhlasan amat dituntut dalam setiap bantuan dan pemberian kita.
Islam Menuntut Kita Untuk Sentiasa Berusaha Membantu
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang membantu menyelesaikan satu masalah saudaranya di dunia maka Allah akan menyelesaikan masalahnya di akhirat.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sebagai manusia biasa kita sering menghadapi masalah samada dalam kewangan, kesihatan, perasaan, hubungan, pengetahuan dan berbagai masalah lagi.
Dengan menghulurkan bantuan akan membawa kita kepada keberkatan hidup, menguatkan ukhuwah, menghilangkan perasaan dengki serta dendam dan yang paling penting kita akan mendapat pahala dan pertolongan daripada Allah SWT.
Justeru, jika benar kita faham akan roh disebalik setiap usaha membantu dalam Islam maka kita akan dapat mengelak diri daripada beberapa sikap yang negatif seperti berikut:
Suka Dibantu Tetapi Tidak Mahu Membantu Orang Lain
Sikap hanya suka dibantu tetapi tidak mahu membantu orang lain jika dalam keadaan berkemampuan boleh menyebabkan orang lain menjauhi kita. Inilah masalah kebanyakan manusia yang lebih suka menerima daripada memberi.
Mengambil Peluang Atas Kebaikan Orang Lain
Sikap mengambil peluang atas kebaikan orang lain boleh memutuskan tali persaudaraan dan menghentikan sifat baik orang yang hendak membantu.
Tidak Menghargai Kebaikan Orang
Sifat tidak menghargai kebaikan orang lain akan membawa bencana kepada masyarakat. Ini kerana kebaikan yang tidak dihargai akan membuatkan manusia malas melakukannya.
Oleh itu, menjadi satu amalan yang baik untuk mendoakan orang melakukan kebaikan kepada kita samada kecil atau besar dengan ucapan terima kasih dan sebagainya mungkin nampak kecil pada mata manusia tetapi hakikatnya amat berharga.
Kecewa Bila Tidak Dihargai
Apabila kita menyumbang, berhati-hatilah kerana seringkali syaitan membisikkan perasaan penyesalan, kehilangan dan berbagai perkara negatif untuk meruntuhkan amalan kebaikan kita.
Jika kita dapat bertahan dengan keikhlasan dan tidak mengharap diri dihargai maka kita telah berjaya menghadapi satu tipu helah musuh yang terlaknat itu.
Lupa Bahawa Allah SWT Sebenarnya Membantu
Mungkin juga terjadi apabila kita dibantu, kita lupa bahawa Allah SWT sebenarnya yang membantu kita. Sewajarnya kita merafak syukur atas setiap bantuan yang diterima dengan berpegang kepada prinsip semuanya itu datang daripada Allah SWT.
Justeru, dalam Ramadan yang penuh keberkatan ini, sama-samalah kita berdoa agar hidup di dunia ini kita dapat memupuk sikap untuk saling membantu antara satu sama lain ke arah kebaikan.
Sifat suka membantu ini adalah satu sifat yang sangat mulia. Allah SWT menyayangi hamba-hambanya yang berbuat kebaikan kepada orang lain. Malah zakat yang kita keluarkan kerana kebiasaan sikap kita membantu sebenarnya yang terkesan dari dalam diri kita.
Wallahu ‘alam Bissawab