ISKANDAR PUTERI: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mahu penggiat seni di negara ini, khususnya penggiat YouTube, mengamalkan kawal selia kendiri yang tinggi di samping penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi memastikan industri itu mempunyai kebebasan yang luas.
Beliau berkata ini kerana penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mampu mengejar perkembangan teknologi semasa yang pantas berubah.
“Sebenarnya self-regulatory (kawalan kendiri) itu lebih besar daripada peraturan dan undang-undang yang diwartakan oleh kerajaan. Kita harus ingat bahawa dunia filem dan dunia teknologi berkembang begitu luas. Undang-undang tidak mungkin dapat mengejar perkembangan teknologi.
“Sebab itu, kalau saudara lihat kita (kerajaan) sekarang bukan hanya tekankan kempen anti berita palsu dan kempen bercerita yang benar kerana itu semua adalah self-regulatory,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema 2020 bagi Zon Selatan di Iskandar Malaysia Studios, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan Presiden Gabung Anak Seni Ellie Suriati Omar yang mahu kerajaan mengenakan lesen ke atas pemilik saluran YouTube bagi melindungi hak dan kepentingan industri perfileman tanah air atas dakwaan penggiat YouTube menjana pendapatan lumayan menerusi kandungan kreatif yang dihasilkan dengan menceduk imej atau klip video yang ada tanpa kebenaran.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kerajaan sememangnya dalam proses meminda Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia 1982 namun usaha itu akan mengambil sedikit masa.
“Tetapi kita akan mengumpulkan pakar-pakar yang terlibat termasuk mereka yang membuat video pendek ke dalam proses ini (pindaan),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin memberitahu pihaknya kini bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menubuhkan Pasukan Petugas Industri Kreatif dalam waktu terdekat.
Pasukan itu akan berfungsi membantu industri kreatif negara berkembang sejajar dengan kepesatan teknologi, katanya.
Terdahulu, Saifuddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Johor hari ini mengadakan pertemuan dengan wakil agensi-agensi di bawah kementeriannya di Johor di pejabat Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Johor pagi ini.
Ini disusuli pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang di Yayasan Warisan Johor. Beliau akan mengakhiri lawatan di Kulai Iskandar Data Exhange (KIDEX) di Sedenak petang ini. – Bernama