MADRID: Pemain muda sensasi Sepanyol, Lamine Yamal (gambar) berharap tidak akan meninggalkan Barcelona dan mahu mengakhiri kariernya bersama kelab itu sebagai seorang legenda.
Yamal membuat penampilan pertamanya bersama Barcelona pada usia 15 tahun pada April 2023 lalu sebelum muncul tonggak penting buat skuad gergasi Catalan itu.
“Saya harap tidak akan tinggalkan (Barcelona), saya mahu menjadi sebahagian legenda di Barcelona,” katanya yang kini berusia 17 tahun ketika ditemubual oleh stesen televisyen di negaranya.
Pemain sayap berbakat itu memainkan peranan cukup penting buat pasukan Sepanyol dalam saingan Euro 2024 lalu di mana dia muncul tonggak termuda dalam sejarah bola sepak Piala Eropah termasuk berjaya menjaringkan gol.
Di Barcelona, Yamal cuba dibandingkan dengan seorang lagi bekas bintang Barcelona, Lionel Messi yang turut memulakan kariernya di kelab itu.
“Untuk dibandingkan dengan yang terbaik dalam sejarah bagi saya ia amat luar biasa, ini bermakna anda melakukan sesuatu yang betul tetapi saya cuba menjadi diri saya.
“Amat sukar untuk mencapai itu (pencapaian kerjaya Messi), jadi saya harap saya akan diingati sebagai Lamine Yamal,” katanya.
Ujarnya lagi, dia akui kelabnya itu banyak membentuk cara dan gaya permainannya seperti mana yang dibuktikan ketika membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024.
“Daripada kecil lagi (di akademi Barcelona), kelab menyediakan pelbagai kemudahan terbaik. Mereka menyediakan saya sejak dari remaja lagi. Saya tidak sabar untuk melangkah ke hadapan bersama kelab ini,” katanya. – AFP