PETRA JAYA, 25 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menamakan Wung Duk Ing, 40, sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.9 Padungan, sekali gus memberi peluang kepada pemimpin muda untuk bertanding di salah satu kubu pembangkang yang secara tradisinya mencabar di Kuching.
Wung, yang juga Ketua Pemuda merangkap Pemangku Setiausaha Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, mengakui persaingan di Padungan bukan mudah, sambil menegaskan bahawa parti perlu kekal bersatu dan bekerja keras untuk meraih sokongan pengundi.
Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman senarai calon GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini, beliau berkata menerima berita mengenai pencalonannya kira-kira 11.00 pagi dan masih cuba menerima realiti tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
Bagaimanapun, beliau bertekad memberikan yang terbaik selepas diberi kepercayaan oleh kepimpinan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau menyifatkan keputusan mengetengahkan pemimpin muda sebagai langkah positif GPS dan SUPP dalam mempersiapkan generasi pelapis untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam arena politik.
Katanya, calon SUPP selama ini sering dikaitkan dengan golongan generasi lebih berusia, justeru pencalonannya merupakan langkah penting dalam memberi peluang kepada pemimpin muda membuktikan kemampuan mereka.
Berdasarkan pemerhatian dan interaksinya dengan penduduk di kawasan Padungan sejak dua hingga tiga tahun lalu, Wung berkata pengundi amat menitikberatkan pembangunan ekonomi, pentadbiran kerajaan serta aspek semak dan imbang.
“Pada pandangan saya, ciri paling penting sesebuah kerajaan ialah kredibiliti. Kerajaan yang berintegriti dan berkredibiliti akan melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan pihak luar.
“Kami yakin dengan kerajaan GPS dalam aspek ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui Padungan kekal sebagai kawasan yang mencabar dan GPS tidak boleh memandang rendah keupayaan pihak lawan.
Beliau menekankan kepentingan menghadapi setiap persaingan dengan serius serta memastikan pasukan kekal bersatu dalam usaha meraih sokongan rakyat.
Mengenai visinya untuk Padungan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, Wung berkata kawasan itu berdepan kekangan sumber sejak 20 tahun lalu.
Beliau percaya pemilihan wakil rakyat daripada gabungan pemerintah, GPS, dapat membantu membawa lebih banyak sumber dan peluang pembangunan ke kawasan berkenaan.
Dengan kira-kira 24,000 pengundi berdaftar, katanya, penyaluran peruntukan yang lebih besar kepada Padungan akan membolehkan lebih ramai penduduk menikmati manfaat pembangunan di kawasan itu.



