
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa rakyatnya di Sudan Selatan agar mengutamakan keselamatan dan segera meninggalkan negara itu susulan peningkatan risiko, sementara penerbangan komersial masih beroperasi.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, sedang memantau rapi situasi keselamatan di Sudan Selatan berikutan perkembangan terkini yang menyebabkan keadaan semakin tidak stabil.
“Memandangkan risiko yang semakin meningkat dan kemungkinan keadaan keselamatan semakin meruncing, kementerian menggesa semua rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan Selatan agar mengutamakan keselamatan dan segera membuat persiapan untuk meninggalkan negara itu sementara penerbangan komersial masih beroperasi,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di sana menerusi saluran yang ada, selain terus berkoordinasi dengan pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan maklumat mengenai status 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat di bawah Pasukan Polis PBB (UNPOL).
“Kesemua mereka dilaporkan selamat,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak melakukan sebarang perjalanan ke Selatan Sudan.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan kerajaan. Kementerian akan terus memantau situasi dengan teliti dan mengeluarkan makluman selanjutnya jika perlu,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi di alamat 611, Runda Grove, Runda, Peti Surat 42286-00100, Nairobi, atau melalui telefon di talian +254 111 052710 (pejabat) / +254 741 603952 atau +254 704 770367 (mudah alih), atau melalui e-mel mwnairobi@kln.gov.my. – Bernama