Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • WHO gesa Bangladesh percepat vaksinasi susulan risiko campak masih tinggi
  • KESIHATAN

WHO gesa Bangladesh percepat vaksinasi susulan risiko campak masih tinggi

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR hiasan.

DHAKA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa Bangladesh mengambil tindakan segera bagi membendung wabak campak yang sedang menular di negara itu.

Menurut Berita Bersatu Bangladesh (UNB), WHO mengesyorkan supaya liputan sekurang-kurangnya 95 peratus bagi kedua-dua dos vaksin campak dicapai di semua kawasan perbandaran.

WHO turut menekankan keperluan memperkukuh sistem pengawasan bersepadu bagi membolehkan kes disyaki campak dikesan dengan cepat di fasiliti kesihatan awam dan swasta.

Agensi itu berkata pemantauan lebih rapi perlu diberikan kepada kawasan sempadan yang mempunyai pergerakan tinggi bagi memastikan sebarang jangkitan yang disyaki dapat dikenal pasti dan ditangani segera.

WHO juga menggesa pasukan tindak balas pantas terlatih digerakkan, selain protokol nasional diaktifkan bagi membendung kes import dan mengelakkan penularan endemik berlaku semula.

Penyelarasan rapat antara pihak berkuasa nasional dan tempatan juga dianggap penting bagi memastikan tindak balas terhadap wabak itu berkesan.

 WHO menasihatkan hospital melaksanakan langkah kawalan ketat, termasuk mengasingkan pesakit dan mengehadkan kontak dengan orang lain bagi mencegah penularan dalam fasiliti kesihatan.

Usaha vaksinasi pula perlu memberi keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk petugas kesihatan, kakitangan sektor pengangkutan dan pelancongan serta pengembara antarabangsa.

WHO turut mengesyorkan kempen imunisasi bersasar untuk komuniti migran di kawasan sempadan bagi meningkatkan tahap imuniti penduduk.

Selain itu, bekalan vaksin yang mencukupi perlu dikekalkan dan akses kepada vaksin mesti dipastikan untuk kumpulan rentan, termasuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta komuniti kurang mendapat perkhidmatan kesihatan.

Bagaimanapun, WHO pada peringkat ini tidak mengesyorkan sebarang sekatan perjalanan atau perdagangan susulan wabak berkenaan.

Agensi itu menilai risiko di Bangladesh sebagai tinggi berikutan penularan yang masih berlaku, jumlah kanak-kanak mudah dijangkiti yang tinggi, jurang imuniti serta kematian disyaki berkaitan campak.

Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak yang belum divaksin atau belum lengkap vaksinasi, termasuk bayi yang masih terlalu muda untuk menerima vaksin, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko komplikasi serius dan penularan berterusan.

Pergerakan rentas sempadan turut meningkatkan risiko penularan, terutama melalui hab bandar utama seperti Dhaka, Chattogram, Sylhet dan Cox’s Bazar. – Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: WHO lulus rawatan malaria pertama untuk bayi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.