LONDON: Julen Lopetegui berkata bahawa pasukan West Hamnya perlu menyelesaikan beberapa “masalah” kecederaan sebelum berdepan pendahulu Liga Perdana, Liverpool, Ahad ini selepas meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada empat perlawanan di Southampton.
The Hammers menang 1-0 di St Mary awal pagi semalam untuk berada di tangga ke-13 dalam carta, sembilan mata di atas zon penyingkiran.
Penjaga gol, Lukasz Fabianski, pertahanan tengah Max Kilman, dan pemain tengah Carlos Soler terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan semasa perlawanan menentang Southampton, manakala Tomas Soucek dan Guido Rodriguez digantung satu perlawanan.
“Kami sentiasa gembira apabila mencatatkan kemenangan.
“Sekarang kami perlu menguruskan dan menangani masalah ini untuk cabaran besar seterusnya menentang Liverpool,” kata Lopetegui.
Alphonse Areola tampil cemerlang di gawang menggantikan Fabianski, yang mengalami kecederaan serius di muka pada minit ke-29.
Jean-Clair Todibo pula menunjukkan prestasi yang baik selepas menggantikan Kilman.
“Pemain di bangku simpanan menunjukkan bahawa mereka bersedia dan ini berita baik kerana anda tahu bagaimana untuk memulakan satu perlawanan, tetapi anda tidak tahu apa yang akan berlaku, jadi anda perlu bersedia untuk bersaing,” kata pengurus Hammers, Lopetegui. – AFP