
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong mengakui bersama gandinganya, Tee Kai Wun, mereka kini berada pada tahap prestasi dan fizikal yang lebih baik untuk menyertai Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Wei Chong berkata berbanding edisi sulung yang disertai pada 2023, kali ini mereka lebih bersedia dan berharap dapat melakukan dengan lebih baik dengan menyasarkan membawa pulang pingat buat Malaysia.
“Kalau dibandingkan dua tahun lepas, memang tahun ni prestasi agak naik sikit. Walaupun tak banyak tapi lebih baik daripada dua tahun lepas.
“Jadi, memang harap dapat buat yang terbaik daripada sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Dalam pada itu, Wei Chong ketika ditanya berkenaan undian bersama Kai Wun di kejohanan itu, dia mengakui diletakkan sebagai pasangan pilihan memberi sedikit kelebihan apabila tidak akan bermain pada pusingan pertama.
Bagaimanapun, dia berkata ia bukan bermaksud mereka boleh selesa memandangkan terdapat beberapa nama hebat perlu dihadapi sekiranya mahu pergi lebih jauh.
“Saya rasa pusingan pertama kita baik sebab bermula pada pusingan 64 dan selepas itu mungkin lawan pasangan Perancis, Toma Junior Popov-Christo Popov.
“Pasangan itu juga agak kuat dan belum tentu boleh menang lagi-lagi mereka main di laman sendiri. Jadi memang kami harap dapat bermain dengan baik nanti,” katanya.
Untuk rekod pada edisi 2023, Wei Chong-Kai Wun menamatkan saingan di pusingan ketiga selepas tumpas kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-16, 14-21, 21-17.– Bernama