PEMAIN Switzerland, Stan Wawrinka tersingkir daripada Terbuka Itali dalam pusingan pertama semalam setelah kekalahan memalukan kepada Lorenzo Musetti berusia 18 tahun.
Juara Grand Slam tiga kali dan pilihan ke-10 di Rom, tewas 6-0, 7-6 (7/2) ketika menentang pemain yang berada di kedudukan ke-249 dunia.
“Saya telah melihatnya bermain di televisyen dan saya tahu dia pemain yang sangat sukar,” kata Musetti, yang akan bertemu dengan Kei Nishikori dari Jepun dalam pusingan kedua.
“Saya akan menikmati kemenangan ini sebelum mula memikirkan perlawanan saya menentang Nishikori.”
Musetti, pemain termuda dalam kejohanan ini, dilahirkan pada tahun 2002, pada tahun Wawrinka mengambil langkah pertama di jelajah profesional.
Seperti Rafael Nadal, Wawrinka telah menarik diri daripada jelajah gelanggang keras Amerika di Cincinnati dan Terbuka AS.
Satu-satunya pertandingan beliau sejak disambung semula setelah cuti enam bulan yang dikaitkan dengan wabak Covid-19 adalah kejohanan Challenger di gelanggang tanah liat di Prague.
Kejohanan di Rome adalah acara memanas badan untuk Terbuka Perancis di Roland Garros bermula 27 September.
Pilihan utama Rafael Nadal dan Novak Djokovic dan pilihan utama wanita Simona Halep akan memulakan kempen mereka pada Khamis.
Nadal, selepas enam bulan tanpa perlawanan rasmi, akan menentang rakan senegara, Pablo Carreno, finalis separuh akhir Terbuka AS baru-baru ini.
Djokovic akan menentang pemain ranking ke-87 dari Itali, Salvatore Caruso dan Halep berhadapan Jasmine Paolini dari Itali, ranking ke-99. dunia – AFP