KUCHING: Wartawan diingatkan untuk membuat kajian serta penyelidikan mendalam sebelum melakukan liputan untuk apa-apa acara atau ke mana-mana lokasi kejadian bagi memastikan laporan yang dihasilkan adalah tepat, relevan, dan bebas daripada kesilapan fakta.
Penasihat Editorial Utusan Sarawak, Kadir Dikoh berkata, kajian awal yang dilakukan bukan sahaja membantu wartawan memahami konteks acara atau insiden, tetapi juga membolehkan mereka menyediakan soalan yang berkualiti dan sesuai dengan keadaan.
“Persediaan awal mencerminkan profesionalisme wartawan dan dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap laporan yang disampaikan.
“Dalam dunia kewartawanan moden, maklumat yang salah atau tidak lengkap boleh memberi kesan buruk kepada kredibiliti individu dan organisasi media,” katanya ketika memberi taklimat kepada wartawan Utusan Sarawak pada bengkel penulisan berita di Hotel Samudra, di sini hari ini.
Kadir, bekas editor kanan akhbar nasional Berita Harian turut mengingatkan pemberita agar sentiasa melakukan berita susulan bagi memastikan perkembangan terkini sesuatu isu dapat disampaikan kepada masyarakat.
Berita susulan penting untuk memberikan gambaran menyeluruh, membetulkan fakta jika ada kesilapan, dan menjawab persoalan yang mungkin timbul daripada laporan awal.
“Berita susulan menunjukkan bahawa media serius dalam memberikan laporan yang berkesinambungan dan tidak sekadar melaporkan sesuatu isu secara sepintas lalu,” katanya.
Beliau menambah bahawa berita susulan juga berfungsi untuk memastikan pihak bertanggungjawab tidak lepas tangan dan terus komited dalam menyelesaikan sesuatu isu yang dilaporkan.
Ini terutamanya penting untuk kes-kes yang melibatkan kepentingan awam, seperti bencana, jenayah, atau isu-isu yang memerlukan tindakan segera.
“Media memainkan peranan sebagai pemantau yang mewakili suara rakyat, dan berita susulan adalah salah satu cara untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Ia juga boleh membantu rakyat, contohnya bila ada insiden kemalangan yang melibatkan kematian, boleh temu bual ahli keluarga dan waris. Melalui berita ini mungkin waris dan ahli keluarga akan dapat bantuan dari wakil rakyat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau sesiapa yang ingin memberikan bantuan” jelasnya.
Bengkel penulisan anjuran Utusan Sarawak ini disertai oleh wartawan dan penyunting, bertujuan untuk menambah baik tahap penulisan dan meningkatkan integriti wartawan Utusan Sarawak
Untuk rekod, Kadir baru-baru ini menerima Anugerah Khas Premier Sarawak pada acara kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini.
Hadir sama Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo.
Oleh SHAHRUL QAIZAT