Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Warisan seni Orang Ulu perlu terus dipelihara, diwarisi generasi muda
  • Utara
  • WILAYAH

Warisan seni Orang Ulu perlu terus dipelihara, diwarisi generasi muda

Utusan Sarawak 10 hours ago

…Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang (lapan Dari Dari kanan) memukul gong simbolik perasmian Malam Pameran Seni FORUM sempena Karnival Kebudayaan Cita Rasa Borneo 2026, di Miri, malam ini.

MIRI: Generasi muda khususnya masyarakat Orang Ulu perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mewarisi dan mempertahankan seni serta budaya tradisional bagi memastikan khazanah berkenaan tidak hilang ditelan zaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, warisan Orang Ulu merangkumi pelbagai cabang termasuk seni ukiran, pembuatan sape, pakaian tradisional, lavung atau tapung, manik, anyaman, tarian serta seni tatu tradisional.

Menurutnya, hasil seni masyarakat Orang Ulu bukan sekadar mempunyai nilai komersial, malah mengandungi nilai warisan, falsafah dan identiti yang mencerminkan kehidupan serta sejarah masyarakat berkenaan.

“Setiap hasil seni memerlukan kreativiti, ketelitian, kesabaran dan penghayatan yang tinggi. Setiap ukiran pada pakaian tradisional, ta’ah, lavung atau tapung mempunyai makna dan falsafah tersendiri.

“Hasil seni Orang Ulu bukan sekadar cantik dipandang, tetapi mempunyai jiwa dan roh yang mencerminkan identiti masyarakatnya,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang pada majlis perasmian Malam Pameran Seni FORUM sempena Karnival Kebudayaan Cita Rasa Borneo 2026, di sini, malam ini.

Dennis berkata, seni tatu tradisional Orang Ulu yang suatu ketika dahulu menjadi lambang identiti dan sejarah kehidupan masyarakat kini semakin berkurangan, manakala generasi muda lebih mengenali corak tatu moden seperti tatu Jepun atau Polynesia.

Justeru, katanya, program seni dan kebudayaan perlu diperbanyakkan bagi memelihara, mendokumentasi serta memperkenalkan semula seni warisan kepada generasi muda agar tidak hilang ditelan zaman.

Menurut beliau, warisan Orang Ulu tidak terbatas kepada seni ukiran dan kraftangan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi adat resam serta budaya kehidupan seharian termasuk adat perkenalan, pertunangan dan perkahwinan, membuka ladang, menanam dan menuai padi serta adat kematian.

“Semua ini merupakan khazanah budaya yang amat bernilai dan perlu terus dipelihara melalui dokumentasi, pameran serta program kebudayaan,” katanya.

Dennis berkata, setiap kaum di Sarawak termasuk Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau, Cina dan Orang Ulu mempunyai keunikan budaya masing-masing yang menyumbang kepada kepelbagaian serta identiti negeri ini.

Katanya, kepelbagaian budaya yang diraikan dan bukannya dipisahkan merupakan antara kekuatan utama Sarawak.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa, memelihara dan mempromosikan seni, budaya serta warisan negeri menerusi pelbagai inisiatif termasuk penganjuran festival kebudayaan, pembangunan industri kreatif, pemerkasaan penggiat seni tempatan serta dokumentasi warisan.

Menurutnya, peruntukan RM194 juta kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dalam Belanjawan Sarawak 2026 membuktikan seni dan budaya bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, malah aset strategik yang mampu menjana ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, Dennis berharap lebih ramai anak muda khususnya masyarakat Orang Ulu tampil mempelajari dan mewarisi kemahiran menghasilkan ukiran, kraftangan, muzik tradisional, tarian dan seni tatu tradisional.

Beliau turut menggesa masyarakat Orang Ulu memanfaatkan sepenuhnya bangunan kebudayaan FORUM sebagai pusat penganjuran aktiviti bagi mempromosikan budaya dan tradisi masyarakat berkenaan.

Pada majlis itu, Dennis turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada pihak penganjur bagi membantu menjayakan program berkenaan.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Van Penyayang bawa sinar buat pesakit paliatif

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.