
ASAJAYA: Majlis Penangguhan Pesta Ambal Asajaya 2025 yang berlangsung di sini, hari ini mencerminkan kejayaan usaha berterusan komuniti setempat dalam memelihara warisan tradisi sambil memperkasakan pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat.
Majlis perasmian penangguhan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, beliau berkata Pesta Ambal Asajaya merupakan inisiatif signifikan dalam memelihara warisan budaya tempatan, memperkukuh ekonomi komuniti serta menyokong pembangunan sosial yang seimbang.
“Pesta Ambal ini menghimpunkan elemen budaya, alam semula jadi, pengembaraan, makanan dan festival dalam satu platform holistik yang memberi nilai tambah kepada Asajaya,” katanya.

Beliau turut menegaskan keunikan ambal yang sinonim dengan daerah itu dan mempunyai nilai warisan tersendiri.
“Ambal Asajaya memang terkenal dengan rasanya yang manis dan istimewa, bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk tempatan malah berpotensi besar sebagai sumber ekonomi komuniti,” ujarnya
Menurut beliau, hasil ambal mampu meningkatkan pendapatan penduduk setempat khususnya nelayan dan peniaga kecil, sekali gus merancakkan ekonomi di peringkat akar umbi.
Mengulas perkembangan terbaharu, Abdul Karim berkata Asajaya kini turut menjadi tumpuan susulan tarikan baharu dikenali sebagai ‘Sudu’.
“Kebelakangan ini Asajaya semakin dikenali apabila Sudu menarik kehadiran pengunjung dari luar kawasan yang sanggup datang semata-mata untuk mencarinya,” katanya.
Beliau berkata penganjuran pesta ini mencerminkan usaha kolektif dan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan serta pentadbiran daerah demi kepentingan rakyat.
Jelasnya, Pesta Ambal Asajaya bukan penganjuran kali pertama, sebaliknya pernah dilaksanakan sebelum ini dan menerima sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat serta pengunjung luar.

Kejayaan penganjuran terdahulu menjadi pemangkin kepada penganjuran kali ini yang dirangka dengan lebih tersusun, berimpak dan menyeluruh selari dengan aspirasi pembangunan komuniti dan pemeliharaan warisan tempatan.
“Saya berharap Pesta Ambal Asajaya ini dapat terus diperkasakan dan dijadikan contoh penganjuran acara komuniti yang berimpak tinggi serta memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan kawasan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Seiring penganjuran program berteraskan komuniti dan budaya, beliau menegaskan komitmen kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan di daerah ini bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antara fokus utama termasuk penambahbaikan infrastruktur asas, peningkatan kemudahan awam, pembangunan jaringan jalan raya, kemudahan komuniti serta inisiatif pembangunan sosioekonomi yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.

Pelaksanaan projek berkenaan selaras dengan matlamat menjadikan Asajaya sebagai daerah yang mampan, berdaya huni dan berdaya saing tanpa mengabaikan pemeliharaan budaya serta kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Kota Samarahan, Abang Ismawi Abang Ali, berkata penganjuran Pesta Ambal Asajaya bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya usaha bersepadu untuk mengangkat warisan tempatan dan memelihara identiti budaya masyarakat setempat.
“Pesta ini menjadi platform penting untuk memperkenalkan kekayaan tradisi dan keunikan identiti tempatan Asajaya melalui penglibatan menyeluruh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata Pesta Ambal Asajaya 2025 turut menampilkan pelbagai aktiviti yang dirangka bagi merapatkan hubungan komuniti, termasuk Ambal Hunt, Amballicious yang mengetengahkan hidangan berasaskan ambal serta sukaneka rakyat.
Secara keseluruhan, penganjuran berterusan Pesta Ambal Asajaya diharap dapat dijadikan acara tahunan yang bukan sahaja dinantikan masyarakat setempat, malah berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti mampan berteraskan budaya, alam semula jadi dan warisan makanan tradisional.
Oleh Norman B