Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Waris mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India terima sijil kematian
  • NASIONAL

Waris mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India terima sijil kematian

Utusan Sarawak 3 hours ago
WARIS mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India terima sijil kematian, tuntutan pampasan bakal dimulakan.

KLANG: Waris mangsa warga India dalam tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 2024 secara rasmi menerima sijil kematian semalam, sekali gus membolehkan barisan peguam memulakan proses tuntutan pampasan daripada pihak berkuasa.

Peguam keluarga mangsa, M. Partiben berkata dokumen berkenaan diserahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya kepada Surya Madhaiha, 28, anak kepada mangsa tragedi G. Vijaya Lakshmi, 48, bagi memudahkan urusan dokumentasi waris yang akan pulang ke India untuk menyelesaikan urusan perbankan milik mangsa.

“Waris (Surya Madhaiha) hadir ke Putrajaya semalam pada 10.00 pagi untuk menerima dokumen itu. Tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada tuntutan hak keluarga mangsa dan kami berharap pihak berkuasa dapat mempercepat proses pampasan bagi mengurangkan kos perbelanjaan waris sepanjang berada di Malaysia.

“Langkah seterusnya ialah mengadakan pertemuan dengan pegawai khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dalam masa terdekat bagi membincangkan nilai pampasan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pertemuan itu penting bagi mencari penyelesaian di luar mahkamah sebelum sebarang tindakan undang-undang dipertimbangkan panel peguam.

Menurut Partiben, tuntutan pampasan itu meliputi pelbagai elemen termasuk ganti rugi kedukacitaan, kos pengebumian, ganti rugi khas dan ganti rugi teladan susulan insiden berkenaan yang didakwa berlaku akibat kelemahan penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan merujuk keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 Mac lepas yang memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur membayar ganti rugi RM824,180 kepada waris mangsa pokok tumbang akibat kecuaian penyelenggaraan dalam kejadian berhampiran Pasar Harian Selayang pada 22 Mac 2023.

“Perbandingan perlu dibuat kerana dalam tragedi tanah jerlus ini, punca kejadian juga dikaitkan dengan kecuaian utiliti bawah tanah dan faktor geologi. Kami berharap kementerian serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menilai satu jumlah pampasan yang munasabah.

“Jika rundingan gagal atau tawaran diberikan tidak setimpal dengan kehilangan nyawa mangsa, panel peguam akan memulakan tindakan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi berkata penyerahan sijil kematian itu sedikit sebanyak melegakan waris yang kini berdepan tekanan kewangan kerana si mati merupakan pencari nafkah utama keluarga.

Beliau berkata dokumen rasmi itu diperlukan segera untuk diserahkan kepada institusi perbankan di India bagi menguruskan komitmen hutang yang ditinggalkan mendiang serta mengelak tindakan lanjut daripada pihak bank.

Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India. Operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama sembilan hari sebelum dihentikan atas faktor keselamatan pasukan penyelamat. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pelan tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 berpaksikan 4 tumpuan utama – Ahmad Zahid
Next: Organisasi media perlu pelbagaikan pendapatan untuk kelangsungan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.