MUKAH: Kebelakangan ini penduduk tempatan sudah mulai membiasakan diri untuk mendapatkan barang keperluan melalui atas talian.
Walaupun bagi segelintir orang tempatan menganggap perkembangan itu sesuatu yang baharu, terutama sekali bagi yang sudah berusia, namun mereka tetap menerimanya dengan penuh kelegaan.
Bagi golongan ini saluran yang sering digunapakai adalah pesanan melalui WhatsApp, manakala pembayaran samaada melalui atas talian atau bayaran tunai waktu terima (COD) bagi penjual yang ada perkhidmatan penghantaran ke rumah.
Adalah difahamkan penggunaan atas talian untuk mendapat keperluan harian itu mencapai ke tahap yang tertinggi bagi penduduk di sini semenjak Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berkuatkuasa sebulan yang lalu.
Hampir semua barang yang boleh diperolehi dengan kaedah dalam talian ini iaitu dari bahan basah hingga ke makanan seperti nasi bungkus, kuih-muih dan sebagainya.
Malah buah asam paya yang biasanya hanya didapati di Pasar Tamu bagi Bandar Mukah, namun kini ia juga boleh ditempah melalui atas talian.
Sebelum ini, bagi penduduk luar bandar penggunaan ‘online’ untuk memasarkan sesuatu produk hanya di kalangan generasi muda sahaja, akan tetapi kini penggunaannya lebih meluas iaitu ke pelbagai peringkat usia, samaada dikendalikan sendiri atau dengan bantuan orang lain.