JULAU: Seramai 144 murid, guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Lasi menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pelbagai aktiviti disusun sepanjang program itu bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek pencegahan kebakaran serta tindakan yang perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan.
“Program yang bermula pada 8.00 pagi baru-baru ini dikendalikan oleh lima anggota bomba.
“Program ini memberi penekanan kepada ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, ceramah mengenai bahaya kebakaran, pameran keselamatan, penerangan mengenai penggunaan alat pemadam api serta demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ceramah yang disampaikan memberi fokus kepada langkah-langkah pencegahan kebakaran, kepentingan bertindak dengan tenang serta mematuhi prosedur keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.
“Demonstrasi penggunaan alat pemadam api turut diadakan bagi memberi pengalaman praktikal kepada peserta mengenai kaedah mengendalikan peralatan tersebut dengan betul.
“Pendedahan secara teori dan praktikal amat penting supaya warga sekolah mempunyai pengetahuan asas untuk bertindak pantas sebelum ketibaan pasukan bomba sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, penerapan budaya keselamatan kebakaran sejak di bangku sekolah mampu meningkatkan tahap kesedaran murid tentang kepentingan menjaga keselamatan diri serta orang di sekeliling.
Oleh Earl Anek





