KUCHING: Semua warga kerja Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) disarankan untuk mewujudkan pelbagai inisiatif baharu yang lebih progresif dalam menjadikan MBKS sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata MBKS bukan hanya memainkan sebagai PBT yang berkhidmat menyediakan perkhidmatan asas kepada orang awam malah turut menjadi imej yang menggambarkan bandar raya Kuching.
”MBKS memainkan peranan penting dalam pembinaan negara kita dan semestinya saya berharap untuk melihat MBKS terus bergerak maju di peringkat global pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam tahunan MBKS, di sini, malam tadi.
Menjelas lanjut, Dr Sim menekankan aspek pendidikan dalam kalangan warga kerja MBKS merupakan salah satu pemangkin dalam meningkatkan kualiti kerja dan perkhidmatan PBT itu pada masa akan datang.
Justeru, beliau menyarankan kakitangan MBKS untuk melanjutkan pendidikan bagi meningkatkan kemahiran mereka seiring dengan visi Sarawak untuk menjadi negeri maju di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
”Saya juga mahu kakitangan MBKS mempunyai ’nilai’ yang tinggi. Sehubungan itu, sekiranya ada kakitangan yang ingin menyambung pengajian sama ada peringkat ijazah sarjana, Doktor Falsafah dan sebagainya, sila maklumkan kepada saya.
”Saya akan memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membincangkan perkara ini kerana kita (Sarawak) memerlukan bakat baharu dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dalam majlis sama turut menggariskan beberapa pencapaian membanggakan MBKS pada tahun lalu.
Antaranya termasuk penarafan 5-Bintang dalam Sistem Penarafan Bintang PBT dan pelaksanaan Smart City Early Adopter untuk meningkatkan pengurusan bandar di Kuching Selatan.
Selain itu, MBKS juga diiktiraf sebagai ahli Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Umur WHO (AFCC) dan telah menerima beberapa anugerah, termasuk Anugerah Bandar Pelancong Bersih ASEAN dan Anugerah Pembangunan Mampan JCI Malaysia 2024 untuk SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).
”MBKS akan terus menyelaraskan visi kami dengan PCDS 2030 dengan mengutamakan pembangunan mampan, memanfaatkan transformasi digital dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.
”Pencapaian ini adalah bukti komitmen MBKS dan sokongan masyarakat dan kami akan terus menyasarkan untuk meningkatkan infrastruktur bandar dalam memastikan persekitaran bandar yang selamat dan cekap, mengukuhkan penglibatan masyarakat dan menggalakkan kemampanan melalui inisiatif menangani perubahan iklim,” tambahnya.
Turut hadir ialah isteri Dr Sim, Datin Amar Enn Ong; Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato Zaiedi Suhaili; Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datu Elizabeth Loh dan pemangku Setiausaha Dewan Bandaraya Kuching Utara, Wong Ming Kong.
Oleh RYNNA SHA’ERRA