
SIBU: Seorang wanita warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Batu 21, Jalan Bintulu-Sibu berhampiran simpang SMK Luar Bandar Sibu No. 1 semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 7.57 malam melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Beliau berkata, kemalangan yang berlaku sekitar 7.14 malam itu membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 64 tahun bersama isterinya, 66, serta sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 26 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, motosikal berkenaan yang bergerak di lorong kiri menuju ke pusat bandar Sibu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan.
“Akibatnya, pembonceng motosikal tercampak ke tengah jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sibu pada 9.19 malam.
Katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan pada tangan dan kaki kiri, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Azari berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan penunggang motosikal mengawal kenderaan sehingga terbabas, selain faktor pencahayaan jalan yang gelap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Tarani Lanting