
LAWAS: Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan menasihatkan masyarakat Lawas agar tidak menyebarkan maklumat atau cerita tidak sahih bagi berhubung insiden kematian melibatkan seorang warga emas di sebuah rumah di Jalan Pulau Salam pagi tadi.
Menurut beliau dalam satu kenyataan, pihak polis menerima maklumat awam berkenaan kebakaran sebuah rumah di Jalan Pulau Salam Lawas lebih kurang 5.15 pagi tadi.
Sepasukan polis telah digerakkan ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan dan siasatan awal kejadian.

“Setelah pihak bomba berjaya memadam kebakaran dalam rumah, mereka menemui mayat mangsa di atas katil di ruang tamu rumah tersebut dalam keadaan rentung. Mangsa yang meninggal dunia bernama Dudol Karim, 73 berasal dari Kampung Banting Lawas.
“Siasatan awal polis mendapati bangunan rumah tersebut mempunyai dua blok rumah di mana mangsa tinggal seorang diri dan dua cucu saudaranya mendiami blok rumah yang kedua,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Kedua-dua cucu saudara mangsa berjaya menyelamatkan diri sementara mangsa terperangkap dalam kebakaran tersebut kerana dilaporkan uzur dan lemah.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkan segera di Balai Polis yang berdekatan.
Oleh Adeng Edrus