ENGKILILI: Selepas lebih lapan jam dilaporkan hilang, seorang wanita warga emas telah berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat, pagi tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata mangsa dikenali sebagai Muri Ngun, 83 tahun dari dari Rumah John, Jalan Sengkuang Hilir, Undup Batu Lintang.
“Mangsa dilaporkan telah keluar dari rumah pada Jumaat (semalam) lebih kurang jam 11 malam dan belum balik ke rumah, sehingga laporan dibuat di balai polis berdekatan oleh keluarga mangsa,” katanya.
Muhammad Rais berkata kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, bahawa mangsa telah dijumpai oleh orang awam sekitar jam 7.30 pagi tadi.
“Anggota bomba telah bergerak ke lokasi kediaman mangsa bagi pengesahan maklumat penemuan mangsa.
“Komander operasi melaporkan mangsa telah dijumpai selamat di lokasi kebun anggaran 200 meter dari rumah panjang dimana mangsa tinggal dan status mangsa dalam keadaan baik serta tiada mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga dan tiada keperluan rawatan diperlukan,” katanya.
Muhammad Rais berkata, berikutan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh agensi penyelamat serta penduduk kampung, ditamatkan sekitar jam 9 pagi.
Oleh ADI SAFARMAN