
MUKAH: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, ditemui dalam keadaan selamat di pondok berhampiran Kampung Bunut, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa, Muhaini Jubaidi, 75, ditemui oleh ahli keluarganya kira-kira 4.35 petang, kira-kira satu kilometer dari kediamannya.
“Syukur, mangsa dijumpai dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerima laporan mengenai kehilangan mangsa selepas dia gagal pulang ke rumah.
Berikutan laporan itu, usaha mencari dan menyelamat digerakkan serta hebahan kepada orang ramai turut dibuat bagi mendapatkan bantuan dan maklumat.
Menurut Muhamad Rizal, kerjasama masyarakat setempat memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penemuan mangsa.
“Pihak polis merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting