
DARO: Tindakan seorang warga emas mengacukan senapang patah buatan sendiri ke arah seorang lelaki yang sedang menanam sawit di Kampung Saai berakhir di penjara selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, dalam kejadian pada 4 Mei lalu, suspek berusia 70 tahun dikatakan datang dalam keadaan mabuk sebelum mengacukan senapang patah ke arah dada mangsa kerana tidak berpuas hati dengan aktiviti penanaman sawit di kawasan kebun berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang dalam keadaan ketakutan berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis.
“Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro berjaya menahan suspek dan merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, lima butir peluru 12 bore tanpa permit sah serta sebilah pedang samurai.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, hasil daripada ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek direman selama empat hari sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Pada hari ini, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sarikei dan mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama, lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan lima tahun bagi pertuduhan ketiga. Tertuduh kini menjalani hukuman di Penjara Sibu,” ujarnya.
Rahim menegaskan, pemilikan senjata dan peluru tanpa permit sah merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Polis turut mengingatkan bahawa kesalahan membawa atau memiliki senjata berbahaya di tempat awam boleh membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman