Warga emas 79 tahun hilang di Betong ditemui selamat

Facebook
WhatsApp
NAWIE menerima rawatan awal selepas ditemukan selamat susulan operasi pencarian di Ulu Layar, Betong. Foto JBPM Sarawak

BETONG: Seorang wanita warga emas berusia 79 tahun yang dikhuatiri hilang selepas keluar ke kebun di Rumah Empaling Jelang Spak, Ulu Layar, di sini, ditemukan selamat petang ini.

Mangsa, Nawie Jabing ditemukan penduduk kampung di Rumah Panjang Temedak pada 2.20 petang, sekitar 2.5 kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKOB).

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), mangsa dilaporkan keluar ke kebun di seberang jalan berhampiran rumah panjang berkenaan sekitar 6.30 pagi Khamis lalu.

Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga keluarganya membuat laporan polis selepas usaha pencarian awal gagal menemukannya.

NAWIE Jabing, 79, ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang ketika keluar ke kebun di Ulu Layar, Betong. Foto JBPM Sarawak

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua hari ini diteruskan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong diketuai Ketua Balai, PPgB Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi bersama lima anggota.

Pasukan SAR memulakan pencarian dengan menyusuri kawasan hutan berhampiran lokasi terakhir bakul mangsa ditemukan sejauh kira-kira satu kilometer.

Pencarian kemudian diperluaskan ke kawasan lereng bukit selepas topi dipercayai milik mangsa ditemukan sebelum pasukan menerima maklumat mengenai penemuan warga emas itu di Rumah Panjang Temedak.

Operasi yang turut melibatkan enam anggota Polis Diraja (PDRM), 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta 120 penduduk kampung ditamatkan sepenuhnya pada 4.00 petang.