KUCHING: Seorang wanita warga Vietnam didenda RM10,000 atau penjara empat bulan di Mahkamah Sesyen ini selepas dia mengaku bersalah tinggal lebih masa di negeri ini selama tiga hari selepas tamat tempoh pas lawatan sosialnya.
H Buih Bya, 26, dari Ho Chi Minh, Vietnam membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, H Buih melakukan kesalahan itu di sebuah motel di Jalan Padungan di sini sekitar jam 7.40 malam pada 9 Dis 2022.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, H Buih dibicarakan atas pertuduhan menjalankan aktiviti pelacuran di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Zaiton kemudian menetapkan jaminan tunai RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 15 Mac 2023 untuk pengurusan kes.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, H Buih didakwa melakukan kesalahan itu pada hari, masa dan tempat yang sama.
Seksyen itu membawa hukuman denda kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu premis berkenaan kerana disyaki aktiviti pelacuran dan H Buih kemudian ditahan kerana didakwa menjalankan aktiviti pelacuran.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu adalah wang tunai RM200 dan kondom terpakai.
Ketika polis menyoal dokumen perjalanan H Buih semasa serbuan, didapati dia telah tinggal lebih masa di negeri ini selama tiga hari selepas tamat tempoh pas lawatan sosialnya.
Menurut pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia, dia telah memasuki negara ini pada 7 November 2022 dan dibenarkan tinggal di Malaysia untuk lawatan sosialnya sehingga 6 Disember 2022.
H Buih, tanpa sebarang alasan munasabah, bagaimanapun tinggal lebih masa di negeri ini sehingga hari penahanannya iaitu 9 Dissember 2022.
Pendakwaan kes tersebut dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali dan Insp Merylene Lindan Andrew Mang manakala H Buih tidak diwakili peguam bela.
Oleh NICKELYSON LAKUN