Wanita terselamat selepas kereta terjunam ke gaung di Bulatan Ban Hock

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menjalankan operasi menyelamat mangsa dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Bulatan Ban Hock, Jalan Tabuan, petang semalam. Foto JBPM Sarawak

KUCHING: Seorang wanita terselamat selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter di Bulatan Ban Hock, Jalan Tabuan, semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.36 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Naza Citra yang terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa menggunakan sistem takal 3:1 sebelum dibawa naik dengan bantuan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa, seorang wanita dewasa, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan menolak bantuan untuk dihantar ke hospital.

Operasi yang diketuai oleh PBK I Muhd Nuruddin Yunus itu melibatkan lima anggota bersama sebuah jentera FRT, dengan bantuan pihak polis di lokasi kejadian.

Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, pasukan bomba kemudian menamatkan operasi dan kembali ke balai.

Oleh Norman B