KUCHING: Usaha memperkasa wanita di Sarawak bukan sekadar membuka peluang pekerjaan, tetapi memastikan mereka mempunyai kemahiran, keyakinan dan sokongan untuk mencapai kemandirian ekonomi serta berkembang dalam kerjaya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata wanita perlu diberikan ruang yang adil untuk belajar, bekerja, berniaga, memimpin dan mencapai potensi mereka tanpa mengira latar belakang, lokasi, usia atau keadaan kehidupan.
“Kita mahu wanita Sarawak bukan sekadar mendapat pekerjaan, tetapi mempunyai pilihan. Bukan sekadar mempunyai pendapatan, tetapi mempunyai kemandirian ekonomi.
“Bukan sekadar menyertai tenaga kerja, tetapi mampu berkembang dalam kerjaya, memimpin dan mencipta peluang untuk orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sarawak Women at Work di sini, hari ini.
Menurutnya, program berkenaan antara lain memberi penekanan kepada padanan pekerjaan bersama 13 rakan strategik, agensi dan jabatan bagi menghubungkan wanita secara langsung dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian berdasarkan kelayakan serta kemahiran mereka.
Beliau berkata, wanita yang pernah meninggalkan tenaga kerja dan mahu kembali bekerja turut perlu diberikan laluan untuk meningkatkan kemahiran serta membina semula kerjaya dengan keyakinan dan peluang yang lebih baik.
Fatimah menegaskan, pemerkasaan wanita bukan bermaksud memberikan kelebihan berdasarkan jantina, sebaliknya memastikan tiada bakat, potensi dan sumbangan wanita yang terpinggir akibat halangan yang boleh diatasi menerusi peluang, pembangunan keupayaan serta sistem sokongan yang bersesuaian.
Oleh Norman B





