Wanita rugi RM12,790 selepas klik pautan tempahan makanan palsu

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto janaan AI

MIRI: Seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kerugian RM12,790 selepas menekan pautan tempahan makanan yang ditemui menerusi iklan di Facebook, dipercayai menjadi perangkap sindiket penipuan siber.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa yang tidak bekerja pada mulanya melihat iklan tempahan makanan sebelum meneruskan urusan melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mangsa kemudian menerima satu pautan untuk melihat menu makanan dan menekannya tanpa menyedari pautan berkenaan berkemungkinan digunakan bagi tujuan penipuan.

“Sejurus selepas mengakses pautan tersebut, skrin telefon bimbit mangsa menjadi kosong dan peranti berkenaan tidak lagi memberikan sebarang respons,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, mangsa kemudiannya membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati berlaku empat transaksi pemindahan wang tanpa kebenaran berjumlah RM12,790 daripada akaun bank miliknya ke beberapa akaun yang tidak dikenali.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bagaimana peranti mangsa telah dikompromi, selain menjejaki aliran wang yang dipindahkan ke akaun terbabit.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menekan pautan daripada iklan atau mesej yang tidak disahkan, selain memastikan sebarang aplikasi hanya dimuat turun melalui platform rasmi seperti Google Play Store dan Apple App Store.

Mohd Farhan turut menggesa pengguna supaya mengaktifkan ciri keselamatan pada peranti mudah alih dan akaun perbankan dalam talian. Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak bank serta membuat laporan polis sekiranya mengesan sebarang transaksi mencurigakan.

“Jangan biarkan hanya satu klik menjadi punca kehilangan wang simpanan. Sentiasa semak kesahihan iklan dan pautan sebelum berinteraksi dengannya,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling