
SARATOK: Lebih banyak program bagi memperkasakan Pergerakan Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka akan dianjurkan sepanjang tahun ini dalam usaha memperkukuh peranan wanita sebagai tonggak pembangunan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelbagai program telah dirancang secara teliti menerusi siri Mesyuarat Khas Pergerakan Sayap Wanita PBB Cawangan Kalaka yang diadakan bulan lalu.
Menurut beliau, perancangan tersebut merangkumi program kemasyarakatan, kebajikan dan pembangunan sahsiah yang bertujuan memperluas penglibatan wanita dalam aktiviti komuniti serta mempererat hubungan silaturahim antara ahli dan masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Agihan Bubur Cendol dan Kuih Takir yang berlangsung di hadapan bangunan Masjid Lama Saratok, semalam.

Program anjuran Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kalaka dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kalaka itu bermula seawal 8.30 pagi dengan acara gotong-royong menyediakan juadah bubur cendol dan kuih takir untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar Saratok.
Mohamad Duri berkata, beliau bersama isterinya, Norlida Sharkawi serta Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kalaka, Lela Ali dan ahli-ahli pergerakan turut serta mengagihkan sebanyak 500 paket bubur cendol dan 500 pek kuih takir kepada orang ramai.
Katanya, program tersebut merupakan antara program tahunan Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kalaka bagi 2026 dan menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan ahli.
“Program agihan ini bukan sekadar mengimarahkan sambutan Ramadan Al-Mubarak, malah menjadi simbol kasih sayang, perpaduan serta semangat gotong-royong dalam kalangan ahli Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kalaka,” katanya.
Beliau berharap usaha murni seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten dan menjadi amal jariah yang diterima serta diberkati, di samping memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman