RM100,000 diperuntuk bagi naik taraf perparitan di Rumah Lika – Roy Gingkoi

Facebook
WhatsApp
​ROY Angau Gingkoi merasmikan Program Segulai Sejalai: Majlis Perasmian RTP yang berlangsung di Rumah Lika, Lidong Baru, semalam. Foto: Roy Angau Gingkoi

​LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan demi kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

​Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Segulai Sejalai: Majlis Perasmian Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang berlangsung di Rumah Lika, Lidong Baru, semalam.

​Dalam majlis tersebut, Roy Gingkoi mengumumkan penyaluran peruntukan berjumlah RM100,000 yang dikhususkan bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan perumahan tersebut.

​ROY Angau Gingkoi merasmikan Program Segulai Sejalai: Majlis Perasmian RTP yang berlangsung di Rumah Lika, Lidong Baru, semalam. Foto: Roy Angau Gingkoi

​Projek infrastruktur ini bertujuan untuk meningkatkan sistem saliran yang lebih efisien, sekali gus menjamin kemudahan serta kualiti hidup yang lebih baik bagi seluruh penduduk di Rumah Lika.

​Selain pembangunan fizikal, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyokong pengurusan pentadbiran setempat.

​Biro Wanita Rumah Lika turut menerima peruntukan sebanyak RM5,000 sebagai galakan untuk memperkasakan pelbagai aktiviti serta program pembangunan komuniti khususnya melibatkan golongan wanita di kawasan berkenaan.

​ROY Angau Gingkoi merasmikan Program Segulai Sejalai: Majlis Perasmian RTP yang berlangsung di Rumah Lika, Lidong Baru, semalam. Foto: Roy Angau Gingkoi

​Roy Gingkoi turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuai Rumah Lika serta seluruh warga rumah panjang tersebut atas jemputan dan sambutan mesra yang diberikan sepanjang majlis berlangsung.

​Beliau berharap agar semangat ‘Segulai Sejalai’ terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat bagi memastikan agenda kemajuan dan kesejahteraan bersama dapat dicapai dengan jayanya.

Oleh Adi Safarman