
SYDENY, Australia: Pengunjung pantai menarik seorang perenang yang cedera parah keluar dari air selepas dia diserang jerung di salah sebuah pantai paling popular di Australia pada Sabtu, kata polis.
Empat terbunuh dalam siri serangan jerung yang luar biasa di sekitar Australia tahun ini.
Polis berkata wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu berada dalam keadaan kritikal selepas dia “digigit jerung” di perairan Pantai Coogee di Sydney.
“Wanita itu ditarik keluar dari air oleh orang awam yang kemudian memberikan pertolongan cemas sebelum ketibaan pasukan kecemasan,” kata polis.
Wanita berkenaan mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan dan kaki, tambah mereka.
Sebuah helikopter pemantau jerung berlegar di atas pantai selepas kejadian, manakala jet ski dikerahkan untuk meronda laut bagi mengesan kehadiran pemangsa itu.
Beberapa pantai di sepanjang pesisir timur Sydney ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Coogee merupakan salah satu pantai paling digemari di Australia dan menjadi lokasi tumpuan pelancong.
Para saintis Australia percaya peningkatan kepadatan aktiviti manusia di laut serta suhu lautan yang semakin meningkat mengubah corak migrasi jerung, yang mungkin menyumbang kepada peningkatan kes serangan.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas digigit jerung ketika berenang di Pelabuhan Sydney pada Januari.
Tiga penyelam maut dalam insiden berasingan antara Mei dan Jun — dua di Australia Barat dan seorang lagi di Queensland.
Hampir 1,300 insiden jerung telah direkodkan di sekitar Australia sejak 1791, dengan lebih 260 daripadanya membawa maut, menurut pangkalan data insiden jerung dengan manusia. – AFP