
BINTANGOR: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram dalam satu operasi bersepadu di Jalan Wharf, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dibuat kira-kira 1.40 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang menjalankan operasi di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.
“Antara barang kes yang dirampas dari suspek adalah satu unit telefon pintar jenama Oppo, satu keping keratan kertas bercetak yang terdapat angka-angka disyaki nombor loteri awam haram tanpa lesen yang sah dan sejumlah wang tunai.
“Barang-barang tersebut telah di rampas untuk di jadikan barang kes,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambahnya, suspek bersama barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bintangor bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis khususnya IPD Meradong menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti jenayah dan perjudian.
“Kami menggesa orang ramai untuk memberi kerjasama serta menyalurkan maklumat berkaitan dengan apa-apa aktiviti jenayah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.
Oleh Earl Anek