
MIRI: Tindakan seorang wanita tempatan menjadi ejen tambah nilai perjudian atas talian membawa padah apabila dia didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Miri selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Tertuduh berusia 27 tahun membuat pengakuan bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mahkamah turut memerintahkan wanita tersebut dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Sebelum ini, tertuduh telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan pihak polis.
Tertuduh melakukan kesalahan itu 26 Februari lalu sekitar 12.00 tengah hari di sebuah kiosk perniagaan tidak bernombor di Jalan Pujut 1B, di sini, ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Hasil pemeriksaan mendapati wanita berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penjualan tambah nilai perjudian atas talian menggunakan telefon bimbit miliknya.
Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM34 yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti perjudian tersebut.
Oleh Liong Chai Ling