
Foto sampel menu mengandungi cendawan beracun yang dikemukakan kepada mahkamah. - Foto Supreme Court of Australia/AFP
SYDNEY: Seorang wanita Australia didapati bersalah pada Isnin atas tiga pertuduhan membunuh selepas menghidangkan makan tengah hari mengandungi cendawan beracun kepada tetamunya, iaitu keluarga mentua, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Juri mendapati Erin Patterson bersalah atas tiga pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cubaan membunuh selepas dia menghidangkan hidangan Beef Wellington pada Julai 2023, menurut laporan media Australia.
Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan berhujah bahawa insiden itu adalah satu tragedi yang tidak disengajakan.
Erin didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, membabitkan kematian bekas ibu bapa mentuanya, Don dan Gail Patterson serta adik Gail, Heather Wilkinson, yang juga ibu saudara suami Patterson.
Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di hospital beberapa hari selepas menikmati hidangan terbabit.
Dia turut didapati bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh Ian, suami Heather, yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal tetapi berjaya diselamatkan.
Sepanjang tempoh dua bulan, juri mendengar keterangan lebih 50 saksi, termasuk ahli keluarga Patterson dan Wilkinson, pakar perubatan, pakar kulat dan Erin sendiri.
Wanita itu yang ditahan pada November 2023, akan terus ditahan sementara menunggu tarikh hukuman dan berdepan kemungkinan dipenjara selama beberapa dekad. – Bernama-dpa