
KUCHING: Seorang wanita cedera selepas dapur rumahnya runtuh dalam kejadian di Kampung Pulo Hilir awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, panggilan kecemasan diterima pada 3.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

Komander operasi, PBK II (TBK I) Asmadi Nawi berkata, sebaik tiba pada 3.43 pagi, pasukan mendapati berlaku runtuhan di bahagian dapur rumah kampung berkenaan dan terdapat seorang mangsa wanita terjatuh di kawasan runtuhan.
“Mangsa, 37 tahun, berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dalam keadaan sedar,” katanya.
Punca kejadian masih dalam siasatan.