Dua cedera ringan dalam kemalangan di Batu 13, Jalan Kuching–Serian

Facebook
WhatsApp

ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto PGO Bomba Sarawak

KUCHING: Dua individu cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu melanggar tiang lampu dalam kemalangan di Batu 13, Jalan Kuching–Serian awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada 4.38 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi sejauh 18 kilometer.

KEADAAN kereta jenis Perodua Bezza yang terbabas dan melanggar tiang lampu di Batu 13, Jalan Kuching–Serian awal pagi tadi. Foto PGO Bomba Sarawak

Komander operasi, PBK I Ahmad Syah berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang terbabas sendiri sebelum melanggar tiang lampu di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa wanita, 28, yang tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Seorang lagi mangsa lelaki, 30, berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan dibawa ke hospital oleh pasukan EMRS untuk rawatan lanjut.