
KUCHING: Golongan wanita di kawasan Bukit Saban digalak memanfaatkan pelbagai program peningkatan kemahiran dan keusahawanan yang disediakan bagi membantu menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi keluarga.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pembangunan dan pemerkasaan wanita akan terus menjadi antara agenda penting kerajaan berikutan peranan besar mereka dalam pembangunan keluarga dan komuniti.
Beliau berkata usaha memperkasa wanita melalui pelbagai program kemahiran mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, khususnya kepada golongan wanita di kawasan luar bandar.
“Wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan keluarga. Oleh itu, mereka perlu diberikan peluang untuk meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Peningkatan Kemahiran Memasak Wanita N.37 Bukit Saban anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban yang berlangsung di sini semalam.
Menurut Uggah, beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, komited memastikan lebih banyak program pembangunan dan peningkatan kemahiran dapat dilaksanakan demi manfaat golongan wanita di kawasan Betong.
“Kita mahu mereka memiliki kemahiran yang boleh diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan sumber pendapatan yang mampan,” katanya.
Beliau turut menggesa peserta memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang program tersebut dan berkongsi pengetahuan berkenaan dengan masyarakat di kawasan masing-masing.
Katanya, langkah itu penting supaya manfaat program berkenaan dapat diperluaskan kepada lebih ramai wanita serta membantu meningkatkan taraf hidup keluarga dan komuniti setempat.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada peserta dalam pelbagai aspek penyediaan makanan, termasuk latihan membuat dan menggoreng mee kuning, penyediaan pelbagai menu masakan serta kursus penyajian makanan.
Selain itu, Uggah berkata pelbagai program susulan turut dirancang, termasuk latihan pembuatan manik dan baju dabung, seni tenunan serta pertanian moden menerusi kaedah fertigasi bagi membuka peluang ekonomi baharu kepada golongan wanita luar bandar.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperkasa wanita melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah serta kesejahteraan keluarga di kawasan Bukit Saban.
Turut hadir pada program tersebut ialah Datin Amar Dato Doreen Mayang dan Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.
Oleh Adi Safarman