Oleh: Roslan Jomel
“The moment you doubt whether you can fly, you cease for ever to be able to do it” – J.M Barrie, Peter Pan.
TEJU COLE, pengarang asal Nigeria (kini menetap di Amerika Syarikat) telah menghasilkan novel terbaharu, Tremor, pada tahun ini. Saya pernah membaca novelnya, Open City, dipuji oleh pengkritik terkemuka James Wood sebagai sebuah karya kontemporari yang cemerlang dan mempesona.
Apa yang istimewanya pada novel Open City? Secara ringkas, ia bagaikan sebuah catatan diari narator dalam melalui rutin hidup dari sehari ke sehari. Membosankan atau tidak, bergantung kepada kaedah dan dimensi pengarangnya mengajukan cerita, renungan, persoalan dan konflik. Itulah pentingnya seni bercerita dan ketajaman menggunakan bahasa sebagai alat menyampaikan idea. Besar atau kecil sesebuah tema, terletak kepada keluasan perspektif pengarang dalam menangani subjek penulisannya. Selebihnya ialah bagaimana watak utama berhadapan dengan isu-isu sebagai manusia, masa lalu dan masa kini (secara psikologi) yang hidup dalam arus kemodenan.
Manakala dalam novel Hunger, karangan Knut Hamsun, dari Norway, dianugerahkan Nobel Prize pada tahun 1920, menceritakan pahit maung dan segala bentuk tekanan pada watak utamanya untuk menyara hayat agar terus berkesempatan untuk menulis. Novel tipis yang menyelami kemelut dan kerumitan jiwa watak utamanya itu begitu mencengkam naluri pembaca sehinggakan terasa nyata setiap visual dan adegan yang dipaparkan oleh pengarangnya. Jelas bahawa di tangan pengarangnya, setiap tema yang dijadikan tumpuan penulisan, bakal menjadi hebat dan sederhana dan ia bergantung pada ketajaman sudut-sudut yang dipilihnya. Maka, benarlah kata Teju Cole (dari tulisannya, Eight Letters to a Young Writer), jadikan hal-hal yang biasa menjadi luar biasa ketika dipindahkan ke dalam karya kreatif. Di situlah bakat dan darjah kredibiliti seseorang pengarang dinilai.
Stefanie Kaso, pengarang berpotensi, pada kali ini mempersembahkan naskhah bertajuk “Hajat”yang merakam laluan suram watak utama dalam misi mencari kerja. Naskhah itu sangat menarik kerana ia bagai cerminan sosial yang berlaku pada hari ini. Ramai manusia di luar sana yang hampir berputus asa dengan kehidupan mereka. Dan disebabkan itu, mula mempercayai hal-hal yang tidak praktikal semata-mata memenuhi kekosongan dan kekecewaan mereka.
Demikianlah yang terjadi pada watak utama. Setiap kali sesi temu duga yang dihadiri, berakhir dengan kekecewaan. Dan ia amat merobek perasaan dan harga diri watak utama. Lalu apa yang harus dilakukannya untuk diterima sebagai pekerja? Memberi wang di bawah meja? Berharap dengan kenalan yang memiliki pengaruh? Sebagai naskhah yang menyorot realiti kehidupan masa kini, pengarang cuba mencari keberhasilan tentang kesaktian yang menjadi harapan beberapa orang individu. Kek. Apakah ia mendatangkan hasil seperti diharapkan? Atau ia cuma taktik penipuan di sebalik perniagaan?
Sebagai pemuda berusia 27 tahun, dia berasa terseksa kerana masih menganggur. Ia subjek yang amat sensitif. Setiap hari yang dilalui terasa tidak sempurna sebagaimana orang lain. Bukan sahaja tidak memiliki sumber pendapatan tetap pada setiap bulan, watak utama juga tampak begitu kecil atas dunia. Sedangkan saudara-maranya sudah pun mendapat pekerjaan tetap dan asyik bertanya tentang hal itu pada setiap kali berjumpa. Perkara itu sungguh menyakitkan jiwa. Dia bagaikan dijadikan sasaran untuk disindir. Lalu apa yang hendak dibanggakannya sebagai seorang lelaki? Lebih menekankan keadaan, sudah beberapa kali watak utama dipanggil untuk menghadiri temu duga, namun dia masih sahaja belum diterima oleh pihak majikan. Apakah ikhtiar yang hendak dilakukannya agar beroleh kejayaan semasa pulang daripada temu duga? Usianya tidak lagi muda dan persaingan semakin kompetitif. Watak utama ingin berbakti kepada ayah dan ibunya.
Watak utama teringat tentang apa yang pernah dilakukan oleh ayahnya. Ayah watak utama ada alternatif dalam usaha untuk menunaikan hajat. Hal itu diceritakan oleh ayahnya. Singgah ke sebuah kedai kek istimewa. Kedai kek itu sudah tua, berpuluh-puluh tahun usianya dan hanya beroperasi pada hujung tahun. Tetapi jangan dipandang sebelah mata. Ada keajaiban yang hanya diketahui oleh para pelanggan. Barangkali apa yang diceritakan oleh ayahnya, sentiasa berlegar-legar dalam fikiran dan jiwa watak utama. Logik atau tidak masuk akal, bukan lagi persoalan utama. Dunia ini penuh dengan hal-hal misteri dan magis, apa salahnya mencuba. Tidak semua perkara ghaib mampu dihuraikan dengan pendekatan saintifik dan empirikal. Manusia perlu berikhtiar, yakin, istiqamah dan selebihnya, terserahlah pada rahmat Tuhan.
Watak utama akhirnya terpengaruh apabila mendengar desas-desus tentang kedai kek sakti itu. Dia memesan kek dengan seorang perempuan tua yang beruban rambutnya. Kononnya sebaik sahaja membeli kek yang tertulis hajat pelanggan di atas kek itu, maka, lambat-laut apa yang diinginkan itu akan terlaksana. Ia bukan penipuan. Tuliskan apa-apa sahaja hajat di atas kek itu, kelak ia akan dipertimbangkan. Watak utama seolah-olah bena tak bena dengan apa yang dihajatinya. Siapakah yang bertanggungjawab menunaikan permintaan yang tertulis di atas kek itu? Terasa seperti filem fantasi. Watak utama tidak mahu lagi terus menunggu dan menunggu perkhabaran mengecewakan daripada pihak penemu duga.
Namun, ada sebuah dialog yang menarik diucapkan oleh watak utama dengan penjual kek yang istimewa itu. Watak utama bertanya dengan perempuan tua yang menjual kek itu, apakah benar segala hajat akan ditunaikan? Lalu dibalas oleh perempuan tua yang sudah berpengalaman dalam selok-belok duniawi itu, bergantung kepada sebanyak mana yang diinginkan oleh pelanggan itu sendiri. Ia lebih kurang bermaksud, jika seseorang pelanggan bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diinginkan, yakin dan tidak sekadar berbasa-basi, maka apa dihajati itu, tidak mustahil tertunai. Lambat atau cepat, itu urusan rezeki. Kek itu sekadar medium untuk menyalurkan hajat mereka. Yang mustahak ialah usaha seseorang itu. Tiada yang mudah di dunia ini. Bulat tidak datang bergolek, pipih tidak datang melayang. Andai seseorang hanya duduk bersila dalam rumah, tetapi mengharap akan menjadi taikun, tentu sahaja ia silap dalam memahami makna keajaiban dalam dunia.
Di luar pengetahuan ayah dan ibunya, watak utama ke kedai kek yang kini menjadi harapan terakhirnya. Keinginan ayahnya untuk memiliki cahaya mata selama menunggu 12 tahun, baru sahaja tertunai setelah membeli kek di kedai yang dimaksudkan. Demikian kata-kata ayahnya yang merujuk kepada kelahiran watak utama. Mustajab. Sukar dipercayai hal magis berlaku dalam kehidupan nyata. Jadi, ia bukan sebagaimana kek biasa yang ditularkan di media sosial. Bukan cerita rekaan untuk melariskan jualan. Ia menjadi bukti terkuat untuk menafikan rasa curiga watak utama tentang kedai kek yang menjadi tumpuan para pelanggan yang ingin menunaikan hajat-hajat mereka. Setelah terpengaruh dan membeli kek itu, apakah ia benar-benar menginginkan hajatnya terlaksana? Persoalan itu, berbalik kepada keteguhan jiwa dan kemahuan dalam dirinya. Ia bermula dari dalam dirinya.
Kek yang digembar-gemburkan selama ini sudah dimilikinya. Berhasil atau tidak, sukar untuk ditentukan. Apa yang dikatakan oleh perempuan pemilik kedai kek ada rasionalnya. Watak utama sudah mula berasa terbeban dengan segala pertanyaan tentang haluan hidup, perkahwinan dan perancangan masa depan. Bagaimanakah dia hendak menjawab dengan kembang dada di hadapan saudara-mara jika sampai sekarang pun masih dia tidak bekerja? Betapa remuknya jiwa andai sering ditanya soalan-soalan demikian di khalayak ramai. Runtuh harga diri dan bagaikan pencundang. Watak utama mahukan dirinya sebaris dengan kedudukan orang lain. Dia perlu mendapatkan pekerjaan, maka, jalan untuk membina masa depan tentu lebih jelas dilihat depan mata. Semakin lama menganggur, semakin lemaslah jiwanya diperkatakan saudara-mara.
Apakah kek yang kononnya berkuasa sakti sesedap kek Mita yang terkenal di Sarawak itu? Itu perkara sampingan. Bagi watak utama, sedap atau tidak, kek yang sedang dinikmatinya itu bagai dijadikan objek untuk melampiaskan rasa marah dan jengkel ke atas saudara-mara yang selama ini memandang rendah ke atas dirinya. Dia memakan kek dengan rasa geram dan penuh amarah. Lihat bagaimana narator menceritakan secara emosional tatkala mengunyah kek yang dibeli dari kedai kek istimewa itu.
“Aku jamah kek itu tanpa mengunyah atau menikmati kelembutan aising vanila pada permukaannya. Tulisan pada kek sudah hancur. Jari-jemariku penuh dengan kek yang empuk dan lembut. Bayangan wajah emak saudara aku kunyah-kunyah sehingga terdengar derakan-derakan berupa tulang patah, soalan-soalan keras yang mengongkong fikiran aku menjadi selembut kek, mudah aku telan begitu sahaja. Aku makan kek itu sehingga licin.”
Setelah kek yang kononnya akan menunaikan apa-apa sahaja hajat pelanggan itu dimakan, watak utama penuh bersemangat ingin menghadiri sesi temu duga dengan harapan berkobar-kobar. Tetapi, adakah hajat yang ditulis di atas kek itu segera memenuhi keinginan watak utama? Watak utama mengalami insiden yang memalukan semasa menghadiri temu duga. Watak utama begitu pasti akan mendapatkan jawatan sebagai penolong pengurus (syarikat kilang getah) yang ditawarkan di tempat sesi temu duga itu berlangsung. Dia berasa sudah cukup bersedia. Keyakinan begitu terserlah pada wajahnya pada hari itu. Bahkan, watak utama sudah pun berangan-angan akan mengajak ayah dan ibunya untuk pergi bercuti. Segala kos perbelanjaan akan ditanggung oleh watak utama. Impian watak utama sudah tinggi melangit. Nama watak utama dipanggil. Dengan langkah positif, watak utama memasuki pejabat dan berhadapan dengan tiga orang penemu duga.
Pada kali ini, keajaiban kek itu akan menemaninya. Dia memiliki keistimewaan yang tida terdapat pada para calon lain. Tetapi, apa yang berlaku dalam dunia realiti, tidak terjadi sesempurna seperti dalam filem. Dia amat percaya, bahawa dialah calon paling layak untuk memegang jawatan yang disediakan. Malang tidak berbau, watak utama rebah dan pengsan sebelum selesai sesi temu duga.
Apakah yang berlaku? Kegugupan?
Sungguh membebankan, ternyata jiwa psikologi watak utama masih dipenuhi oleh kata-kata pedas saudara-maranya. Lantaran itu, watak utama terasa begitu payah untuk berhadapan dengan situasi yang begitu mustahak kepada masa depannya sendiri. Kejadian itu amat memalukan dirinya. Kenapakah dia masih sahaja melayan bayangan perasaan tentang wajah saudara-mara dan kata-kata mereka lagi? Ternyata ada batu penarung yang menghalang di depan watak utama. Apakah dia terlalu yakin akan beroleh kejayaan? Apakah dia terlalu berharap dengan magis daripada kek? Jiwanya masih terperangkap dengan pandangan negatif daripada orang lain. Maka watak utama harus terlebih dahulu membebaskan ikatan rantai dalam dirinya.
Watak utama pulang ke rumah dalam keadaan tidak bermaya. Ayahnya mengetahui bahawa watak utama turut membeli kek di kedai yang pernah diceritakan. Tanpa ditanya, watak utama terus memaklumkan kegagalannya dalam temu duga. Keberuntungan belum memilih anak lelakinya. Ayahnya meminta agar watak utama terus berusaha. Jangan mudah patah semangat. Masih ada kesempatan lain yang perlu dicuba. Pada bahagian akhir, ayah watak utama memberikan kata-kata emas yang amat bernilai. Secara hakikatnya, tidak ada benda yang segera di dunia ini. Seseorang harus berusaha untuk menunaikannya. Watak utama berasa lega apabila mendengar nasihat daripada ayahnya. Memang munasabah apa yang dikatakan oleh ayahnya. Dan sebelum ayahnya beredar, watak utama diberikan sebuah akhbar yang telah pun ditandakan bahagian iklan jawatan-jawatan kosong. Maksud ayahnya, tentulah merangsang watak utama agar terus berusaha untuk menghadiri sesi temu duga. Jika hari ini gagal, siapa tahu, besok akan berbeza pula ceritanya.
Naskhah “Hajat” karangan Stefhanie Kaso menawarkan suatu pengalaman yang menarik. Walaupun temanya sekadar tentang pencarian kerja, tetapi lebih daripada itu, jika dicermati dengan teliti, naskhah itu menawarkan suatu mesej besar tentang keazaman seseorang untuk mendapatkan apa-apa yang diingini. Di samping tema utama itu, naskhah “Hajat” juga memaparkan situasi semasa yang berlaku dalam permasalahan sebenar pada masa kini. Isu pengangguran merupakan ancaman yang serius di mana-mana negara kerana jika tidak ditangani dengan menyeluruh, ia bakal mengundang beberapa musibah negatif terhadap senario sosial. Sebagaimana dilaporkan dalam laman sesawang Astro Awani, bertarikh 8 Disember 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan kenyataan bahawa bilangan penganggur pada bulan Oktober telah menurun kira-kira 0.5 peratus kepada 570,900 orang berbanding 573,700 orang pada bulan sebelumnya. Memandangkan aktiviti ekonomi dan kepesatan infrastruktur yang semakin aktif pada masa kini, ia pasti akan meningkatkan jumlah penduduk bekerja dalam pelbagai sektor. Sungguhpun demikian, masih ada individu tempatan yang terlalu memilih jenis pekerjaan dan ini menimbulkan pula isu kebanjiran para pekerja asing mendominasi peluang pekerjaan.
Walaupun tidak memberikan kesudahan yang menggembirakan kepada watak utama, namun, (bahagian inilah yang bermakna) dengan bijaknya pengarang menyarankan kepada audiens bahawa keajaiban akan berlaku jika seseorang gigih berusaha untuk memperoleh apa-apa yang dihajati. Di situlah letaknya mentaliti seseorang itu. Misalnya, seorang pemain badminton terhebat dan kerap memenangi hadiah pertama dalam kejohanan-kejohanan besar dunia, merupakan hasil daripada rutin latihan keras dan disiplin yang ketat. Mahu tidak mahu, demi menjaga air muka dan reputasi diri, watak utama perlu menguatkan dirinya untuk terus mencuba dan mengambil penyertaan dalam setiap jawatan kosong yang ditawarkan pada iklan-iklan. Jika ingin berjaya dan melangkah ke hadapan, abaikan semua kata berbaur sindiran daripada orang sekeliling.
Stefanie Kaso bertindak realistik, tidak memberikan harapan yang indah dan muluk pada penghujung naskhahnya. Dan itulah yang menarik tentang naskhah “Hajat”itu. Ia menyerlahkan sisi kematangan yang sememangnya ditagih daripada pengarang.
Syabas kerana telah menghasilkan naskhah yang mengasah pemikiran itu.