

VNT kelas C bersama enam kru ditahan Maritim Malaysia selepas dikesan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan berhampiran perairan Pantai Penipah, Bintulu.
BINTULU: Tindakan melanggar syarat sah lesen membawa padah apabila sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu dalam satu rondaan khas pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot terbabit dikesan menjalankan aktiviti perikanan kira-kira 10.2 batu nautika dari Pantai Penipah sekitar jam 7.00 pagi semasa rondaan operasi Op TIRIS 3.0 dan Op PERMAI 01/2019.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan menangkap ikan di zon larangan iaitu kurang daripada 12 batu nautika dari pantai yang jelas melanggar syarat lesen perikanan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bot berkenaan dikendalikan enam kru warga tempatan termasuk nakhoda berusia antara 28 hingga 54 tahun, yang kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bot bersama kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Suffian memberitahu, Maritim Malaysia komited untuk terus memperketat kawalan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara bagi memastikan sumber perikanan tidak dieksploitasi secara haram.
“Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.
“Sebarang pelanggaran tidak akan dikompromi,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kejadian kecemasan di laut boleh menyalurkannya segera ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544.
Oleh Carolyne Utih