
KUCHING: Keupayaan Pertubuhan Pemeliharaan Hayat Kuching (KLCS) dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif dan kebajikan kepada masyarakat terus diperkukuh apabila menerima sebuah Van Penyayang hasil sumbangan dermawan dari Mukah, Chan Mang Tiam.
Van berkenaan dijangka meningkatkan akses pengangkutan kepada pesakit yang memerlukan rawatan perubatan serta perkhidmatan penjagaan paliatif di rumah, khususnya mereka yang berdepan kekangan mobiliti dan pengangkutan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen individu prihatin yang tampil menghulurkan bantuan demi memperkasakan perkhidmatan kebajikan dan kesihatan di negeri ini.
Menurut beliau, masyarakat Sarawak sememangnya mempunyai ramai individu yang pemurah dan berkemampuan untuk menderma atau menyumbang dalam pelbagai bentuk bagi menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu golongan memerlukan.
“Kita mempunyai ramai individu yang baik hati dan berkemampuan untuk menderma atau menyumbang dalam apa juga bentuk demi menyokong usaha yang dilaksanakan oleh NGO. Ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk masyarakat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis penyerahan Van Penyayang yang disumbangkan oleh Chan kepada KLCS di sini.
Fatimah berkata, inisiatif seperti Van Penyayang membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, NGO dan masyarakat mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan serta kebajikan, khususnya kepada golongan rentan.
Beliau berkata, selain van yang disumbangkan itu, KLCS kini memiliki tujuh ambulans dan lapan van, manakala sebuah lagi kenderaan khas untuk kegunaan Orang Kurang Upaya (OKU) dijangka diterima dalam masa terdekat.
“Secara keseluruhannya, organisasi ini akan mempunyai 10 unit kenderaan yang dapat dimanfaatkan bagi menyokong pelbagai perkhidmatan kebajikan dan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, wakil KLCS, Huang Sung Huo berkata, organisasi tersebut turut mengendalikan sebuah hospital dengan kapasiti 58 katil.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 35 katil diperuntukkan kepada kerajaan bagi membantu penyediaan perkhidmatan kesihatan, dengan 16 katil sedang digunakan ketika ini.
Beliau berkata, selain menyediakan kemudahan hospital, NGO turut menyumbang pelbagai peralatan perubatan, ambulans serta kemudahan pengangkutan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Katanya, penambahan aset termasuk Van Penyayang yang disumbangkan Chan Mang Tiam itu akan membolehkan organisasi berkenaan memperluaskan perkhidmatan pengangkutan kepada pesakit yang memerlukan rawatan dan penjagaan paliatif di rumah, sekali gus memastikan mereka menerima rawatan dengan lebih selesa, bermaruah dan tepat pada masanya.
Untuk rekod, KLCS merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif berasaskan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit menerusi rawatan, sokongan dan penjagaan secara berterusan.
Oleh Afiq Sallehi