PENYERANG Everton, Richarlison percaya terdapat tiga pertahanan tengah dalam dunia yang lebih baik daripada tonggak Liverpool, Virgil van Dijk.
Pertahanan Belanda didakwa antara pertahanan tengah terbaik dan memenangi Pemain Terbaik Lelaki UEFA pada 2019 begitu juga berada di tempat kedua daripada Lionel Messi dalam undian Ballon d’Or selepas tahun yang cemerlang.
Van Dijk, pemain bernilai £75 juta (RM397.5 juta) tiba dari Southampton pada Januari 2018, berjaya mengubah nasib the Reds di Anfiled, memainkan peranan penting dalam kejayaan Liga Juara-Juara keenam mereka dan bakal dimahkotakan juara Liga Perdana Inggeris.
Namun menjelang saingan antara seteru Merseyside di Goodison Park, Richarlison mendakwa dia sudah mengatasi Van Dijk dan menegaskan Marquinhos, Thiago Silva dan Sergio Ramos antara pertahanan yang sukar dilepasi.
“Ramai orang bercakap mengenai dia, ya dia seorang pertahanan yang hebat tapi saya sudah berjaya menggelecek mengatasinya,” kata Richarlison dalam satu temubual bersama The Mirror.
“Dia dipilih antara salah seorang daripada ketiga terbaik dalam dunia ketika dia mempunyai musim yang cemerlang. Tapi ya, pada saya ada lagi pemain pertahanan yang lebih baik.”
“Thiago Silva, Marquinhos dan Sergio Ramos,” jawapannya selepas ditanya mengenai pertahanan yang dimaksudkan itu.
Sementara itu, bekas pertahanan Arsenal dan West Ham, Matthew Upson percaya pemain muda beraksi di bahagian tengah, Billy Gilmour memberi masalah buat Frank Lampard menjelang pertembungan Chelsea berdepan Aston Villa, Ahad ini.
The Blues kembali bersaing menentang Aston Villa di gelanggang kosong Villa Park dan prestasi Gilmour sebelum rehat lebih tiga bulan membuatkan Lampard berdepan dilema dalam pemilihan pemain menurut Upson.
Pemain berusia 19 tahun berkenaan tampil dalam tiga perlawanan liga buat Chelsea setakat musim ini dan menjaringkan gol pada sesi perlawanan pemanas badan minggu lalu.
“Masalah dihadapi Frank Lampard dalam menentukan kesebelasan pasukannya,” kata Upson menerusi program Sports Football.
“Apabila melihat persaingan di barisan tengah dalam pasukan, terdapat beberapa pemain yang menyerlah dengan aksi terbaik dan tidak lain daripada Billy Gilmour.
“Kesan yang ditampilkan sebagai pemain muda, tenaga yang dibawa di Chelsea, kebolehannya menerima bola di setiap ruang padang tanpa tekanan.
“Mempunyai keyakinan serta kepercayaan untuk pergi bersaing, pasti jarang ditampilkan oleh pemain muda yang begitu menonjol kematangannya.
“Jadi dia adalah masalah untuk Frank Lampard membuat pilihan kerana anda akan fikirkan untuk meletakkannya dalam pasukan anda.
“Kemudian baru anda melihat kepada pemain lain seperti (Mateo) Kovacic, Jorginho, semestinya (N’Golo) Kante dan anda perlukan Mason Mount untuk bergerak di barisan depan.
“Jadi ia masalah yang pasti dapat ditangani dengan bijak, namun dia juga harus membuat keputusan sama ada Gilmour sudah melakukan persediaan yang sepatutnya untuk berada dalam kesebelasan utama.
Gilmour menyertai Chelsea dari Rangers pada 2017 dan anggota skuad kebangsaan bawah 21 tahun Scotland.-AFP