KUCHING: Pemilik haiwan di Kuching memenuhi kawasan Dewan Masyarakat Majlis Dewan Kuching Selatan (MBKS) semalam untuk mendapatkan vaksin anti-rabies percuma bagi haiwan peliharaan yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Verterinar Sarawak di sini semalam.
Orang ramai kelihatan mula berbaris untuk pendaftaran seawal 9.00 pagi untuk mendapatkan vaksin anti-rabies percuma tersebut.
Antara orang awam yang hadir ialah Timothy Mang, 38, dari Puncak Borneo berkata, beliau mengambil peluang yang ada untuk membawa haiwan peliharaannya untuk diberi vaksin anti-rabies.
“Saya dapat tahu mengenai program vaksin anti-rabies percuma ini daripada facebook dan ini adalah kali pertama saya membawa haiwan peliharaan untuk dapatkan vaksin rabies di sini.
Bagi Perseus Giter, 29 , yang juga mengambil kesempatan untuk memberi vaksin kepada anjing jenis pomeranian mengatakan inisiatif yang dibuat oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Verterinar Sarawak adalah suatu perkara yang baik dan ianya perlu diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, bagi Sandra Tan, 30 , berkata, tujuannya datang ke program tersebut adalah untuk mendapatkan vaksin anti-rabies tetapi juga untuk meperbaharui lesen anjing dan sekaligus membuat mikrocip untuk haiwan peliharaannya.
“Saya datang hari ini adalah untuk memperbaharui lesen anjing, membuat mikrocip dan mendapatkan vaksin anti-rabies. Ia memudahkan urusan dan menjimatkan masa kami kerana banyak kaunter dibuka.
“Saya berharap agar pemilik anjing yang belum membawa anjing mereka untuk di vaksin mengambil peluang seperti ini untuk membawa haiwan peliharaan mereka untuk di vaksin supaya anjing mereka selamat dan tidak mendatangkan bahaya kemudian hari.”Katanya.
Terdahulu, program vaksin besar-besaran rabies ini telah dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Verterinar Sarawak dengan kerjasama di antara Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan Sarawak serta Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Dewan Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).