
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, terus mempergiat usaha turun padang bagi memastikan pembangunan luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun dan benar-benar menepati keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Semalam, beliau mengadakan lawatan kerja ke kawasan Kali Kaba yang disusuli pertemuan strategik bersama tiga pemimpin masyarakat setempat iaitu Tuai Rumah Siti Blanda, Tuai Rumah Christoper dan Tuai Rumah Joshua bagi membincangkan hala tuju pembangunan di kawasan berkenaan.
Dalam pertemuan itu, Mohamad Duri meneliti secara terperinci pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dirancang bagi 2025 dan 2026, dengan penekanan terhadap projek infrastruktur asas yang memberi impak langsung kepada kehidupan harian penduduk.
Bagi RTP 2025, beliau memaklumkan pembinaan jeti belian di kawasan Kali Kaba, telah dikenal pasti sebagai projek keutamaan dan akan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku agensi pelaksana.

Sementara itu, bagi RTP 2026, beberapa projek utama dirancang termasuk naik taraf ruai Rumah Panjang Siti Blanda dengan peruntukan berjumlah RM190,000 serta pembinaan baharu dataran kejat dan parit di Rumah Panjang Joshua yang melibatkan kos RM70,000.
Selain membincangkan perancangan projek, Mohamad Duri turut mengambil maklum pelbagai aduan penduduk setempat, antaranya berkaitan kerosakan jalan kebun serta masalah pintu air yang rosak dan hilang akibat kecurian yang menjejaskan aktiviti pertanian dan keselamatan penduduk.
Beliau menegaskan bahawa lawatan turun padang seperti ini amat penting bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi rakyat di peringkat kampung agar tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan berkesan.
Menurutnya, hasil perbincangan sejak tahun lalu mendapati keperluan pembinaan titi atau jeti belian merupakan keutamaan mendesak, justeru beliau komited membantu membina kira-kira 21 jeti belian bagi semua pemohon di bawah peruntukan RTP 2025.
Mohamad Duri menegaskan beliau bersama pegawai di Pusat Khidmat ADUN Kalaka akan terus komited melaksanakan program turun padang secara berkala di seluruh kawasan DUN Kalaka bagi memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara berterusan, inklusif dan selari dengan aspirasi rakyat.
Oleh Adi Safarman