MANCHESTER, England: Manchester United mengharungi kekalahan mengaibkan 3-1 di laman sendiri kepada Brighton dalam Liga Perdana Inggeris sebentar tadi selepas pemain sayap lawan Yankuba Minteh meledak satu gol dan mengumpan satu lagi.
Tuan rumah pula tidak dibantu oleh kesilapan memalukan penjaga gol Andre Onana.
Kaoru Mitoma dan Georginio Rutter turut berada dalam senarai penjaring gol pada babak kedua buat Brighton, yang tidak terjejas apabila gol Joao Pedro dibatalkan oleh VAR kerana kekasaran.
Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti buat United menyamakan kedudukan pada minit ke-23 untuk terikat 1-1 ketika rehat tetapi selepas Brighton mendahului kali kedua, Onana melakukan kesilapan susulan hantaran leret ke dalam kotak penalti, membolehkan Rutter menampan masuk bola muntah pada minit ke-76.
Brighton melonjak ke tangga kesembilan dengan 34 mata, empat mata berbanding kelompok empat teratas.
United pula merudum satu anak tangga ke tangga ke-13 dengan 26 mata daripada 22 perlawanan.
Sementara itu, David Moyes memenangi perlawanan pertamanya di Goodison Park sejak kembali sebagai pengurus The Toffees minggu lalu apabila membenam Tottenham 3-2 manakala Nottingham Forest mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ketiga apabila menewaskan Southampton juga 3-2.