
Maguire (kanan) menanduk masuk gol ketiga United. Foto AFP
MANCHESTER, England: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim puas hati dengan cara pasukannya bangkit ketika menang 3-2 ke atas Ipswich Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
United ketinggalan di Old Trafford tetapi bangkit mendahului 2-1 sebelum Patrick Dorgu dibuang padang beberapa minit kemudian yang membolehkan Ipswich menyamakan kedudukan sebelum rehat.
Namun Harry Maguire meletakkan United kembali semula di depan menerusi tandukan sejurus selepas babak kedua bermula.
Pelawat yang mempunyai kelebihan jumlah pemain gagal memanfaatkan peluang selepas United bertahan dengan baik untuk menjauhkan mereka daripada zon penyingkiran.
“Hari ini, saya tidak kecewa,” kata Amorim kepada pemberita. “Kami menguasai permainan dan sejak minit pertama saya rasa pemain cuba beraksi sebaik mungkin dan kami berjaya menjaringkan dua gol.
“Ketiadaan seorang pemain menjejaskan sedikit permainan sedikit, tetapi sokongan padu penyokong dan bantuan daripada mereka sangat membantu dan kami benar-benar layak mendapatkan tiga mata.
“Ada beberapa saat yang sangat sukar tetapi itu adalah perkara biasa dalam setiap profesion, anda perlu menderita. Memang sukar bagi saya untuk bermain seperti kami lakukan pada separuh masa kedua.”
Amorim turut kurang gembira dengan sikap penyerang muda Alejandro Garnacho yang dikeluarkan bagi membolehkan United perkuatkan barisan pertahanan selepas Dorgu dibuang padang.
Pemain Argentina itu terus menuju ke terowong dan tidak menyertai rakan sepasukan di bangku simpanan.
“Saya akan bercakap dengan Garnacho mengenainya. Anda boleh tanya saya pada sidang media akan datang.”