KUCHING: Cahya Mata Cement Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Cahya Mata Sarawak Bhd, menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran klinker (batu hangus) menerusi kemudahan baharunya – ‘Clinker Line 2’, di Mambong di sini.
Projek bercita-cita tinggi itu bertujuan menambah baik kapasiti pengeluaran simen di Sarawak dan memenuhi permintaan infrastruktur negeri itu yang semakin meningkat untuk 15 tahun akan datang, kata Cahya Mata Cement dalam satu kenyataan hari ini.
“Clinker Line 2 akan mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan. Ia akan menggabungkan ciri-ciri terkini untuk meningkatkan prestasi alam sekitar dan kecekapan tenaga,” katanya.
Barisan baharu itu akan dibangunkan dengan kerjasama Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd berikutan perjanjian perundingan teknikal yang ditandatangani pada November 2023, ia meliputi reka bentuk dan pembinaan, seterusnya barisan klinker serta mengoptimumkan kemudahan pengeluaran klinker sedia ada.
Apabila siap pada Mac 2027, Clinker Line 2 akan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan tambahan sebanyak 6,000 tan metrik klinker setiap hari dengan berkesan menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan Cahya Mata Cement daripada 900,000 kepada 1.92 juta tan metrik.
Kemudahan baharu itu akan menampilkan sistem pemulihan haba sisa yang mampu menjana tenaga sehingga 6.0 megawatt, sistem penapisan habuk termaju untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 50 peratus dan peralatan yang direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dioksida.
Selain itu, penggunaan bahan mentah dan bahan api alternatif yang tersedia di dalam negara, kemudahan itu akan meminimumkan pergantungan kepada bahan api fosil, mengukuhkan kedudukan Cahya Mata Cement sebagai peneraju dalam pengeluaran simen hijau.
Semasa fasa pembinaannya, projek Clinker Line 2 dijangka memerlukan sehingga 500 pekerja, memberikan rangsangan besar kepada pekerjaan tempatan dan mewujudkan peluang untuk perniagaan tempatan di seluruh rantaian bekalan.
Selepas beroperasi, kemudahan baharu itu akan membolehkan Cahya Mata Cement memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi simen di Sarawak dengan unjuran pengeluaran tahunan sebanyak 2.4 juta tan metrik.
Pemangku Ketua Cahya Mata Cement Choong Ju Tang berkata syarikat itu komited untuk menyediakan bekalan simen berkualiti tinggi yang mampan, disokong oleh jenama kukuh dan asas kukuh dibina selama lebih 50 tahun menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Apabila projek Clinker Line 2 diluluskan dan siap, kami akan berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi dan melebihi permintaan industri pembinaan pada masa depan,” katanya. – Bernama