

SERIAN: Setiap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus kekal berpegang kepada disiplin dan kepatuhan terhadap arahan bagi memastikan pasukan ini terus dihormati serta disegani.
Itulah intipati utama yang ditekankan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Serian yang baharu, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian dalam amanatnya sempena sambutan Hari Polis Ke-218 di Dewan Sri Pengaman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian hari ini.
Beliau yang baru melaporkan diri pada 17 Mac lalu menegaskan bahawa selagi seseorang anggota menyarung uniform biru ini, tanggungjawab mempertahankan martabat pasukan dan negara adalah amanah yang tidak boleh dikompromi.
“Selagi kita memakai uniform biru ini dan masih dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, kita tidak ada tolak ansur untuk terus memajukan pasukan kita demi memartabatkan negara yang dicintai,” katanya selepas membaca amanat daripada Ketua Polis Negara sempena sambutan tersebut.
Beliau turut menekankan prinsip kepatuhan terhadap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) sebagai kunci untuk memastikan kelangsungan integriti pasukan.
“Dalam PDRM, buat apa yang disuruh, buat apa yang diarah, sebagaimana peraturan, undang-undang dan SOP yang telah ditetapkan, nescaya kita akan selamat dan kita tidak akan menimbulkan masalah kepada pasukan kita,” tambah beliau.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 19 pegawai dan anggota IPD Serian yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas mereka.
Sambutan Hari Polis Ke-218 di IPD Serian juga diserikan dengan acara pemotongan kek sebagai simbol penghormatan kepada pasukan keselamatan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Semangat yang dizahirkan dalam majlis ini menjadi bukti bahawa PDRM terus teguh dalam menegakkan undang-undang serta memastikan keamanan negara terpelihara.
Sebagai anggota pasukan keselamatan, ketaatan, disiplin dan semangat berkhidmat harus terus menjadi pegangan setiap individu dalam PDRM. -UKAS