KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 778 projek telah berjaya disiapkan dengan peruntukan bernilai RM100.4 juta sejak penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada 2017.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memberitahu, 623 projek lagi sedang dijalankan dengan nilai RM148.9 juta melibatkan pembinaan, penyelenggaraan, pembaikan, serta pembelian peralatan dan instrumen keagamaan untuk rumah-rumah ibadat.
“Kepentingan asas spiritual yang kukuh dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab yang seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan negara.
“UNIFOR ditubuhkan bagi memastikan semua agama selain Islam di Sarawak diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2024, yang diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan, malam tadi.
Katanya lagi, Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menganjurkan Majlis Kesyukuran Antara Agama.
Jelasnya, acara ini menggambarkan rasa hormat serta pemahaman yang mendalam dalam kalangan rakyat berbilang agama, kepercayaan dan pegangan spiritual.
“Kepimpinan beliau (Abang Johari) yang berlandaskan prinsip inklusif telah membolehkan kerajaan memperuntukkan geran tahunan kepada setiap agama utama di Sarawak termasuk Kristian, Buddha, Tao, Baha’i, Sikh dan Hindu,” katanya.
Justeru, beliau terus menyeru pemimpin agama agar terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej perpaduan, keamanan dan toleransi kepada generasi masa hadapan.
“Kami berharap pemerintahan Seri Paduka Baginda akan terus diberkati dan membawa kemakmuran serta kejayaan kepada rakyat jelata, tanpa mengira kaum, budaya dan agama,” katanya.