
BARIO: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) telah memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk membina kedua-dua gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di Pa Ramapuh A dan B di Bario.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata setiap gereja berkenaan telah diperuntukan masing-masaing RM500,000.
Menurut beliau peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak bagi memastikan pembangunan rumah ibadah dapat dilaksanakan secara terancang dan memberi manfaat kepada masyarakat termasuk di kawasan pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan gereja baharu BEM Pa Ramapuh A dan seterusnya mengadakan lawatan ke tapak pembinaan gereja baharu BEM Pa Ramapuh B bagi meninjau sendiri perkembangan pelaksanaan projek tersebut hari ini.

Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas penubuhan Unifor yang telah menjadi pemangkin kepada pembangunan rumah ibadah pelbagai agama di seluruh Sarawak.
Katanya, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuhkan keharmonian antara kaum dan agama malah memastikan tiada komuniti yang tercicir dari arus pembangunan.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan semua jawatankuasa gereja yang menerima bantuan Unifor supaya menguruskan peruntukan yang diberikan dengan penuh amanah, berkhemah dan telus.
Tegasnya, setiap sen yang diperuntukkan hendaklah digunakan mengikut tujuan yang telah diluluskan di samping memastikan laporan kemajuan projek serta penyata penggunaan kewangan dikemukakan kepada Unifor mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tambah beliau tadbir urus yang baik akan memastikan lebih banyak komuniti dapat terus menikmati manfaat daripada program bantuan ini pada masa hadapan.
Beliau berharap agar pembinaan kedua-dua gereja tersebut berjalan lancar dan siap mengikut jadual sekali gus menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada penduduk Pa Ramapuh serta menjadi pusat yang boleh menyatukan komuniti setempat.
Turut hadir Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau.
Oleh Jiku Juguong