BARIO: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sejak penubuhannya pada 2017, telah menyalurkan geran sebanyak RM1.26 juta kepada enam gereja di sini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Beliau berkata demikian setelah dimaklumkan menerusi taklimat khas oleh Pengarah UNIFOR Georgia Apphia Ngau di Gereja UMUM Bario, semalam.
“Taklimat bertujuan menerangkan secara ringkas berkenaan penubuhan dan fungsi UNIFOR.
“UNIFOR telah banyak membantu gereja-gereja di kawasan Bario dengan menyalurkan bantuan kewangan.
“Bantuan kewangan ini untuk membina gereja dan rumah pastor yang baharu, baik pulih bangunan gereja dan bantuan kelengkapan gereja,” jelasnya pada taklimat khas yang turut disertai oleh Ketua-Ketua Gereja BEM Bario dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Bario.
Gerawat serta rombongan kemudiannya mengadakan lawatan ke Kampung Baru untuk melihat bangunan gereja baharu di kampung tersebut yang dibina pada 2019 dengan peruntukan berjumlah RM290,000 daripada UNIFOR.
Katanya Bario yang teletak jauh di pedalaman menyukarkan pengangkutan bahan binaan dari bandar dan ini menyebabkan kos pembinaan sesebuah bangunan itu lebih tinggi daripada kawasan bandar.
“Saya bangga dengan usaha penduduk di Bario yang terus membangunkan rumah gereja mereka walaupun logistik menjadi satu cabaran utama,” katanya
Lawatan mereka diteruskan dengan melawat Gereja Umum Bario di mana di situ UNIFOR telah menyumbang sebanyak RM150,000 bagi menaik taraf bangunan ini.
Selepas itu, Gerawat serta rombongan meneruskan lawatan ke BEM Arur Dalan untuk melihat sendiri kelengkapan gereja dan rumah pastor melalui penyaluran geran sebanyak RM150,000 daripada UNIFOR.
Mereka juga sempat melawat bangunan baharu Rumah Doa Antarabangsa (House Of Prayer Hill for All Nation di Puun Rawir, Bario.
Katanya, sebagai permulaan pembinaan Rumah Doa ini pada 2017, UNIFOR turut memberi bantuan sebanyak RM250,000.
Sebelum berangkat pulang rombongan mereka juga turut mengadakan lawatan singkat ke BEM Pa Ukat dan BEM Pa Umur.
Dua gereja ini menerima bantuan UNIFOR sebanyak RM90,0000 dan RM80,000 bagi tujuan menyiapkan bangunan masing-masing.
Tegas Gerawat, terdapat satu lagi permohonan membina gereja baharu BEM Pa Remapuh B yang masih dalam proses.
Oleh Jiku Juguong